Terima kasih saya ucapkan kepada kawan-kawan yang sudi memperuntukkan sedikit bayaran dengan menghantar mesej kepada saya untuk mengucapkan tahniah setiap kali karya saya tersiar di media cetak. Saya sangat menghargai niat murni anda semua itu.
Ada juga yang meminta tunjuk ajar daripada saya. Suhbanallah! Saya sedia membantu sesiapa sahaja yang berkeinginan. Ingin saya nyatakan di sini saya bukanlah sesiapa dalam dunia penulisan ini kerana pengalaman dan pengetahuan saya masih cetek. Namun saya akan cuba membantu sekadar mampu.
Ada juga yang bertanya kepada saya apa tips yang saya gunakan hingga karya saya membanjiri media cetak pada tahun ini. Saya juga ingin nyatakan bahawa kebanyakan karya tersebut adalah karya yang saya hasilkan pada tahun-tahun lepas. Ada juga karya yang saya hasilkan pada tahun ini tersiar pada tahun ini juga. Alhamdulillah. Semuanya bergantung kepada rezeki.
Ada juga yang menyatakan kepada saya kualiti karya amat penting. Jangan banyak saja karya yang tersiar tetapi kualitinya tidak seberapa. Saya terima pandangan tersebut. Saya mengambil sikap positif. Jika saya fikirkan dan menunggu untuk menulis karya yang berkualiti sahaja tentu saya tidak akan menulis sebuah karya pun untuk tahun ini. Itu tidak bermakna karya-karya yang saya hasilkan tidak menitik beratkan kualiti. Oleh itu karya yang bermutu @ berkualiti itu subjektif sifatnya.
Ada juga di waktu permulaan saya menulis saya pernah meminta bantuan daripada beberapa orang penulis untuk memberitahu saya alamat emel untuk menghantar karya ke media tertentu tetapi jawapan yang diberikan-rujuklah majalah tersebut. Saya tahu niatnya untuk mempromosikan media tersebut jika tidak penulis itu sekadar senang lenang tanpa perlu bersusah payah untuk menyelidik media tersebut. Tetapi ada juga yang tidak lokek untuk berkongsi.
Mudahnya, setiap kejayaan yang sedia maklum tidak datang bergolek tetapi menuntut usaha yang tidak kenal putus asa, disiplin dan berdoa kepada Allah SWT.
Saya perturunkan sedikit apa usaha yang telah saya lakukan;
1. Menulis tidak pernah kenal jemu. Setiap kali menulis saya akan pastikan yang karya itu adalah yang terbaik yang pernah saya hasilkan. Berkali-kali saya akan melakukan penyuntingan setiap karya saya hasilkan sebelum dihantar. DAN jika tidak berjaya jangan mudah putus asa. Semak semula karya tersebut dan cari media lain yang difikirkan sesuai dengan tema karya tersebut. Sekiranya tidak tersiar juga cuba ke media lain pula (tidak mustahil karya yang anda hasilkan bertahun lepas tetapi baru kini tersiar). Itu menunjukkan karya anda mempunyai sesuatu nilai.
2. Sebagai penulis eceran saya akan membeli dan melihat sejumlah media cetak yang ada di Malaysia ini. Baik surat khabar arus perdana mahupun tabloit serta majalah. Beli untuk beberapa keluaran serta teliti tema, gaya bahasa serta siapa penulis yang sering mendapat tempat. Jika berpeluang dapatkan pendapat mereka. Jangan lokek untuk membelanja sedikit wang. Kemudian saya akan cuba menulis dan menghantar karya tersebut. Selepas itu setiap bulan atau minggu saya akan menyemak sama ada karya tersebut mendapat tempat atau tidak. Bagi penulis lelaki jangan malu untuk membelek majalah perempuan kerana majalah perempuan menyediakan peluang yang luas untuk kita menghantar karya.
3. Untuk melihat karya saya terbit setiap minggu atau bulan saya telah menghasilkan lebih daripada 80 buah cerpen hingga kini. Dan lebih 200 buah puisi. Saya rasa tidak perlulah saya mendedahkan jumlah sebenar karya yang tersiar daripada sejumlah karya yang telah saya hasilkan. Saya berbangga dengan pencapaian saya setakat ini. Namun hinggi kini saya tidak pernah berhenti menulis. Saya akui disiplin untuk menulis agak longgar kerana banyak kekangannya. Tetapi saya akan cuba menulis.
4. Selain menulis membaca juga adalah perlu. Pernah saya nyatakan dalam Tunas Cipta-Bicara Tunas yang mana sekiranya anda ingin menulis puisi bacalah seberapa banyak puisi mahupun ilmu tentang puisi begitu juga dengan cerpen. Jangan pernah berhenti membaca. Hingga kini saya mempunyai lebih daripada 20 buah kumpulan cerpen dan puisi serta antologi penulis-penulis Malaysia mahupun penulis luar. Menerusi bahan bacaan inilah saya mengutip ilmu.
Semoga sedikit perkongsian ini memberi manfaat kepada sesiapa yang berlapang dada menerimanya. Sekiranya masih mempunyai persoalan yang hendak dilontarkan, silakan.
Terima kasih berkongsi pengalaman menulis di sini. Membaca pengalaman penulisan penulis lain itu satu bonus.
BalasPadamSemoga terus tekal menulis.
Cemburu dengan semangat saudara.
Alhamdulillah. Moga apa yang dikongsi mampu memberi manfaat kepada pembaca.
BalasPadamTerima kasih saudari Jamilah.