 Jika seorang ustaz itu lebih mulia daripada kita, siapalah kita hendak merendah-rendahkan martabatnya?
Jika seorang ustaz itu lebih mulia daripada kita, siapalah kita hendak merendah-rendahkan martabatnya? 
 Jika seorang pelacur itu lebih teruk daripada kita, mengapa kita hendak mengagung-agungkan statusnya?
 Penangan sebuah drama - Nur yang disiarkan di TV3 telah mengundang 
pelbagai reaksi daripada penonton. Drama Nur menceritakan realiti 
terpencil yang berlaku dalam masyarakat kita. Atau realiti terbuka yang 
tidak dibongkar atau didedahkan? Saya sempat membaca beberapa reaksi 
daripada pihak yang "menyukai" dan "tidak menyukai". 
 Rata-rata 
reaksi tersebut tidak mewakili bagi diri sendiri sebaliknya merangkum 
kepada masyarakat. Dengan kata lain, drama ini telah memburuk-burukkan 
imej seorang ustaz. Ustaz yang menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng 
wang atau harta anak yatim. Ustaz yang melanggan pelacur. Hal ini 
menyebabkan orang lain - terutama bukan beragama Islam akan memandang 
serong terhadap orang Islam/ustaz. 
 Kritikan itu dibalas - Madi 
atau Ustaz Madi dikatakan bukanlah seorang ustaz tulen. Jadi tidak 
menjadi isu apabila dia dipakaikan "serban ustaz" dan telah menjatuhkan 
maruah seorang ustaz yang selama ini dihormati dan diiktiraf statusnya. 
 Saya melihat drama ini sebagai sebuah fiksyen kritikan sosial. Jika 
saya seorang pembaca novel, drama ini telah diadun dengan plot cerita 
yang lengkap - permulaan, perkembangan, konflik, kemuncak dan peleraian.
 Namun begitu, pada akhirnya plot drama ini telah ditamatkan dengan 
tergesa-gesa. Katakan kemuncaknya berada pada babak nombor 7, tiba-tiba 
sahaja terus menjunam ke babak nombor 10. Babak nombor 8 dan 9 
dihilangkan - dipercepatkan atau dirangkum sekali dalam babak nombor 10. 
 Bagi saya pengakhiran drama Nur boleh diperbaiki. Apabila 
menjadikan sihir/santau  sebagai penyebab Adam membenci/berpisah dengan 
Nur seolah-olah penulis skrip/pengarah mengambil jalan selamat.
 Biarpun ada sedikit unsur suspens dan kejutan apabila pada mulanya Adam
 dikatakan membenci dan menceraikan Nur disebabkan kecuaian Nur yang 
menyebabkan "anak dalam kandungan" mati. Namun sebaliknya, disebabkan 
sihir/santau. 
 Pastinya rata-rata penonton tidak puas hati 
apabila pengakhiran drama ini diakhiri dengan "pembalasan" yang terlalu 
"lembut". Namun begitu, siapalah kita/manusia untuk menjatuhkan hukuman.
 Walau bagaimanapun, itulah hukuman - undang-undang yang diterima oleh 
Madi (ditangkap) kerana telah melakukan penyelewengan wang.
 Dari 
segi watak dan perwatakan semua pelakon memainkan peranan yang cukup 
baik. Walau bagaimanapun, saya melihat watak Aisyah - kakak Adam ada 
sedikit kontra. Saya tidak pasti sama ada begitukah yang diarahkan oleh 
pengarah? Aisyah terlalu keras dan kasar. Jika hendak dibandingkan 
dengan Deeja yang lebih lembut dan tenang. Melihat kepada watak dan 
perwatakan seorang perempuan muslimah nada dan percakapan Aisyah yang 
sering meninggi-ninggikan suaranya dan menengking itu sedikit pun tidak 
menggambarkannya seorang perempuan muslimah. 
 Apabila sesuatu 
karya seni bertentangan dengan norma masyarakat, hal inilah yang 
mengundang kritikan. Apabila status pelacur - kotor dan buruk diangkat 
sedangkan status ustaz - bersih dan mulia direndah-rendahkan. Kisah ini 
dapat dikatakan hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
 
Kita berhak memberikan "kritikan", pandangan atau pendapat. Namun 
begitu, kita tidak boleh memaksa orang lain menyetujui dengan apa-apa 
yang kita perkatakan. Dalam konteks kerja seni sebarang kritikan yang 
membina, kita ambil untuk kita perbaiki karya akan datang. 
 Jika kita lebih baik daripada seorang ustaz, mengapa kita tidak bersama-sama berdakwah ke jalan Allah?
 Jika seorang pelacur itu lebih baik daripada kita, siapalah kita hendak merendah-rendahkan martabatnya?
 Nur - lorong cahaya daripada yang buruk kepada yang baik, yang gelap 
kepada yang cerah, yang kasar kepada yang lembut, yang jahil kepada yang
 berilmu, yang sesat kembali ke pangkal jalan.
 Pada akhir 
penilaian yang menjamin tiket kita ke syurga adalah keikhlasan. 
Keikhlasan itu pula suatu yang subjektif untuk dinilai dengan mata 
kasar.
Maaf zahir dan batin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan