Koleksi Karya

Sabtu, 8 Jun 2013

Dari Karya Eceran ke Buku

Sememangnya saya mengimpikan untuk memiliki kumpulan cerpen dan puisi sendiri. Namun begitu, belum sampai masanya lagi walaupun usaha ke arah itu telah dilakukan. Saya masih bersabar menanti. 

Bagi saya daripada karya yang tersiar secara eceran di media baik surat khabar ataupun majalah perlu dibukukan menjadi kumpulan cerpen mahupun puisi sama ada secara persendirian ataupun bersama (antologi). Hal ini memudahkan proses dokumentasi dilakukan baik untuk tujuan rujukan, bacaan dan sebagainya. 

Baru-baru ini sewaktu ke PBAKL 2013, saya telah membeli sebuah kumpulan cerpen Allahyarham Azizi Haji Abdullah, SEPI MAKIN MEMANJANG. Saya akui, sememangnya saya meminati karya penulis ini. Kumpulan cerpen yang menghimpunkan 20 buah cerpen ini telahpun disiarkan secara eceran di pelbagai media terutama Dewan Sastera. 

Ada antara cerpen yang termuat dalam kumpulan ini telah pun saya baca sewaktu disiarkan secara eceran seperti Sepi Makin Memanjang, Sang Wahabi Mencari Tuhan, Seorang Melayu di Tengah-tengah Bandar Raya, Manto Tangkap Toman, Ilaihi Rajiun, Nilai Cinta Kami dan Jusoh, Aku Pun Nak ke sana. Selebihnya, cerpen lain belum pernah lagi saya baca di mana-manapun. 

Sayangnya, kumpulan cerpen ini terbit selepas beliau menghembuskan nafas terakhirnya. Boleh saya katakan, cerpen yang termuat dalam kumpulan ini merupakan karya terkini beliau. Paling mutahir ialah Sepi Makin Memanjang yang disiarkan di Dewan Sastera Ogos 2010

Setelah membaca keseluruhan kumpulan cerpen ini, dan karya-karya beliau sebelum ini, terdapat gaya bahasa (langgam) yang tidak dimiliki oleh penulis lain. Oleh hal demikian, saya bercadang untuk menulis sesuatu tentang hal itu. Data telah saya perolehi, tinggal lagi untuk menulisnya. Harap-harap dapatlah saya sudahkan.

Kepada yang belum memiliki buku ini, ayuh dapatkan segera. Hanya RM 23.00. Terbitan DBP. 



6 ulasan:

  1. Terima kasih atas perkongsian itu. Saya juga tercari-cari penulis terbaik untuk saya ikuti gayanya dahulu. Al-maklumlah, saya ini orangnya kena baca karya orang lain dahulu barulah idea mencurah ke minda. Contohnya apabila baca karya Nisah Haron, terus saya dapat menulis idea-idea dunia pari (ada saya nukilkan di blog).

    p/s: Penulis amatur meniru dahulu gaya orang lain. Apabila meningkat matang, terserlah gaya sendiri nanti.

    BalasPadam
  2. Saudara Wong, setiap orang ada penulis kegemarannya yang dia suka baca setiap karyanya. Begitu juga dengan saya. Saya amat suka dengan gaya kepengarangan Azizi Haji Abdullah. Boleh dikatakan lebih 10 buah karyanya yang saya miliki.

    Tidak salah "meniru" untuk memberi dorongan dan panduan untuk kita berkarya.

    Membaca juga dapat mencambahkan idea.

    BalasPadam
  3. Tahniah cikgu Helmi, ulasan buku 'Tangis Buliga' karya Kak Kathrina Susanti Sitaim, telah tersiar dalam Mingguan Malaysia hari ini (Y)

    BalasPadam
  4. Terima kasih, Kak Long. Ya, ulasan ini dah lama saya hantar. Alhamdulillah, masih disiarkan.

    BalasPadam
  5. Kathrina Tati Sitaim Salam : dan terima kasih tidak terhingga buat Sdr Mohd Helmi Ahmad kerana mengulas buku saya. Tolong sampaikan salam.
    43 minit yang lalu · Tidak suka · 1

    Cikgu Helmi, Kak Long panjangkan ucapan terima kasih Kak Katrina kepada cikgu kerana sudi mengulas "Tangis Buliga" beliau.

    BalasPadam
  6. Oh, terharu rasanya dapat ucapan daripada penulisnya.

    Dia ada post dekat FB dia ke? Rugi pula, tak ada FB, kalau tak boleh tengok apa yang dia tulis.

    Saya mengulas, mengikut pandangan saya saja. Mungkin ada kekurangan. Ulasan itupun dipotong sebenarnya. Barangkali tidak muat.

    BalasPadam