Koleksi Karya

Khamis, 6 September 2012

Kegilaan Seorang Penulis

Kegilaan seorang penulis. Begitulah tajuk entrinya. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, saya sibuk berkursus selama 4 hari. Sudah tentulah diri terasa letih. Namun seperti ada yang mendesak-desak dalam fikiran saya. Apabila tidak menulis seperti hari-hari itu berlalu pergi begitu sahaja. Betapa ruginya.

Saya pernah membaca kumpulan cerpen Osman Dol-Mimpi Seorang Hartawan. Saya tertarik dengan sebuah cerpen di dalamnya yang berjudul REBAH. Cerpen ini saya anggap pengakuan penulis akan kehidupan seorang penulis yang jujur. Jika tidak menulis dalam satu hari tidak senang duduk dibuatnya. Apatah jika ditinggalkan berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan.

Jika saya tidak menulis saya akan membaca. Begitulah yang saya lakukan setiap hari. Seolah-olah jika orang luar melihat bahawa saya ini seperti hidup dalam dunia sendiri. Saya lebih banyak memerhati, mendengar daripada bercakap. Entahlah, saya rasakan saya ini seorang yang pendiam.

Sebatang pena itu jika saya tinggalkan lama, pasti susah untuk dimulakan. Seolah-olah mata pena itu menjadi tumpul. Bukan senang untuk mengasah kembali. Tetapi jika saya kekalkan walaupun sehari sebaris ayat ia tetap akan menajam.

Kegilaan saya lagi adalah menunggu setiap hari minggu ataupun setiap kali muncul bulan baru. Saya akan berusaha membelek-belek majalah yang saya ada hantar karya. Kadang-kadang saya membeli majalah atau pun surat khabar itu semata-mata untuk melihat karya saya saja. Selepas itu tersadai saja di rumah. Tetapi jika ada kesempatan saya cuba juga membelek majalah tersebut. Mana tahu ia dapat memberi ilham baru tidak pun dapat menambah ilmu saya.

4 ulasan:

  1. Pengakuan yang sangat jujur! :) Lagi-lagi pada perenggan akhir.

    BalasPadam
  2. Huhu, terima kasih Cik Hanna kerana sudi baca entri ini.

    Jujur? hehehehe... hanya orang yang pernah merasainya saja yang tahu. Dan orang itu ialah penulis.

    BalasPadam
  3. Perit hati seorang penulis tak siapa tahu bila kita berharapkan karya kita muncul di media arus perdana seperti Utusan/MM dan BH/BM... memang betul hari minggu tak sabar nak buka halaman sastera.

    Tahun lalu hanya dua buah puisi sy terbit di MM tahun ini pula baru sebuah di MM; di BH dulu Berita Minggu (BM) telah masuk LEBIH dari tahun ke 3 tak satu pun terbit puisi sy di sana paling akhir puisi sy terbit BM bertajuk MATA... sekitar lebih dari 3 tahun lalu.

    Perjuangan seorang Penyair picisan sy ini tak pernah pudar; syukur ada penerbit lain yang prihatin mahu menerbitkan karya sy.

    Insya-Allah sy akan terus menulis puisi hingga ke akhir hayat selagi ada ilham & fikiran ini tidak nyanyuk lagi.

    BalasPadam
  4. Saya dapat merasai luahan hati Tuan Idan itu. Sebagai seorang penulis eceran seperti kita ini apa-apa kemungkinan boleh terjadi.

    Saya seperti Tuan Idan juga tidak pernah ketinggalan untuk mengirimkan karya baik puisi mahupun cerpen ke BM dan MM untuk dipertimbangkan.

    Saya kira jumlah karya yang saya kirimkan berlipat kali ganda daripada yang pernah disiarkan. Walau bagaimanapun saya bersyukur kerana nama saya pernah tercatat dalam akhbar tersebut.

    Saya masih menunggu karya-karya disiarkan di akhbar tersebut. Moga Allah mempermudahkannya. Sama-sama kita berdoa agar terbuka hati editor ini untuk menerima karya kita bersama.

    BalasPadam