Kenangan selepas mengikuti Bengkel Penulisan Novel anjuran KarnaDya |
Sains Pemacu Teknologi Sastera Pembentuk Jiwa
Bicara TunasOleh Normaizura Md. Zain
Berkarya itu impian saya. Semuanya didasari minat yang tersuntik bersama-sama kegilaan membaca sejak di bangku sekolah rendah. Kanak-kanak sinonim dengan dunia imaginasinya yang tersendiri. Usai menekuni dan menghayati buku cerita kanak-kanak, perasaan yang kurang enak timbul dalam benak saya. Setiap kesudahan cerita yang saya baca langsung menolak imaginasi saya untuk berfungsi bagi menghasilkan jalinan cerita yang lebih menarik. Bermula dari situlah, saya terfikir bahawa pada suatu hari nanti, saya ingin menjadi penulis.
Tatkala meniti usia remaja, saya mula tercari-cari arah saya, tetapi masih belum berjumpa. Kepercayaan dan keyakinan bahawa saya memang meminati bidang penulisan dapat dikesan apabila saya seronok dibebani karangan yang panjangnya berjela-jela. Saya asyik dan geram apabila terpaksa mengehadkan patah perkataan seperti yang ditetapkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia.
Lantaran itu, saya menulis pada buku nota panjang sehingga lenguh tangan dan cuba mengenal pasti corak penulisan berdasarkan pemahaman sendiri. Malangnya, saya masih belum sampai ke tahap penulisan yang betul. Pemerian saya melampau-lampau. Namun demikian, saya sudah mula bijak menggunakan beberapa gaya bahasa yang sering saya jumpa dalam pembacaan saya sebelum ini.
Haluan saya ditetapkan. Saya berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia dalam bidang bahasa dan linguistik Melayu (minor penulisan). Di situlah saya belajar teori dan praktikal daripada pensyarah saya yang hebat, iaitu Prof Madya Dr. Lim Swee Tin dan Dr. Kamariah Kamarudin.
Untungnya saya apabila dilengkapkan dalam satu pakej sarjana muda yang menyediakan kursus penulisan sebagai landasan untuk saya mula berkarya. Contohnya, kursus seperti Penglahiran Bakat dan Karya Kreatif, Penulisan Cerpen dan Novel, Penulisan Puisi dan Drama, dan Teori Kesusasteraan. Selain itu, saya pernah mengikuti bengkel penulisan anjuran KarnaDya (2007 dan 2008) dan bengkel penulisan fiksyen sains dan teknologi anjuran Universiti Teknologi Malaysia dan Kumpulan Utusan pada tahun 2009.
Tersiarnya puisi “Bandinganmu Bukan Aku” dalam Mingguan Wanita pada tahun 2007 merupakan pencapaian awal yang tidak saya jangkakan. Penangan puisi itu membuatkan semangat dan rasa yakin diri semakin tinggi. Saya mula gila menulis. Pagi saya tidak lena menantikan ilham. Mendengar titis hujan pun mampu membangkitkan aura penulisan.
Kemudian saya dikejutkan pula dengan tersiarnya cerpen “Beranda” dalam Harmoni pada tahun 2008 yang turut menempatkan diri dalam kategori cerpen remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2009. Yang manisnya, selepas karya ini tersiar, Lim Swee Tin bertindak memfotostat cerpen ini dan mengagihkannya kepada teman sekuliah. Pada waktu itu, karya saya dibedah dan saya berdebar-debar menantikan responsnya. Sungguh saya katakan, air mata seakan-akan mahu luruh di situ sahaja. Terharu saya dengan penghargaan yang tidak dijual di mana-mana pun. Merekalah yang banyak berjasa membuka minda saya yang tertutup rapat selama ini. Sehingga saat ini, mereka sentiasa memberikan dorongan dan galakan.
___
Rencana ini dipetik daripada Tunas Cipta Januari 2012. http://tcipta.dbp.my/?p=601
*Kembali terus hidupkan sumbu pelitamu yang semakin malap dek minyak yang kurang.
InsyaAllah, minyak akan terbekal pada bulan Februari
BalasPadamAku menanti dengan penuh sabar. Agaknya majalah apa yang akan terbakar nanti.
BalasPadamAku menanti dengan penuh sabar. Agaknya majalah apa yang akan terbakar nanti.
BalasPadam