Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.
Temu Mesra Bersama Penulis ini memberikan pengalaman berharga kepada saya berkaitan beberapa perkara. 
 Sebelum acara, saya telah membuat persediaan seadanya. Pertamanya, saya menyemak stok buku yang berbaki. 
 Yalah, kalau nak jual buku, tidak mungkin nak pamerkan sebuah buku 
sahaja seolah-olah memberikan gambaran yang saya tidak 
bersungguh-sungguh untuk menjual buku. 
 Oleh itu, saya letakkan 
tiga naskhah setiap judul, kecuali Kartunis Muda 10 naskhah, Bila Ayah 
Berkaca Mata Hitam - lima naskhah dan Gadis dan Cermin Masa Depan - lima
 naskhah. 
 Saya meletakkan diri saya sebagai pembeli. Saya pun 
berasa tidak puas hati jika hanya dapat membelek-belek kulit depan dan 
kulit belakang buku sahaja. 
 Jadi, saya buka plastik pembalut buku bagi setiap judul untuk memudahkan pengunjung membelek halaman buku. 
 Keduanya, saya tolak tambah, bahagi dan darab untuk menentukan harga 
jualan buku. Memandangkan sasaran saya dan tempat jualan saya di 
sekolah, pengunjungnya ibu bapa dan murid, saya menjual buku dengan 
harga mampu milik. Biarpun ada buku yang dijual hanya memberikan 
keuntungan beberapa sen sahaja. 
 Saya perhatikan setiap meja 
jualan buku, mejanya beralas dengan kain. Jadi, saya pun apa lagi, 
belilah kain alas. Kemudian, saya beli kad untuk ditulis harga jualan, 
bekas letak duit, plastik dan tapak mempamerkan harga promosi. 
Mengenangkan perkara itu, terasa lucu pula.
 Tidak cukup setakat 
itu, saya meminta rakan guru untuk mereka gegantung promosi. Bukan main 
besar lagi gegantung yang memaparkan wajah saya. 
 Seawal pagi 
saya menyusun buku-buku yang hendak dijual. Kemudian, saya meminta 
bantuan murid saya untuk membantu saya menjaga meja jualan ketika saya 
bertugas sebagai AJK Protokol. 
 Saya dapat membayangkan perasaan 
peniaga apabila barang jualan tidak laku kerana pada hari pertama hanya 
seorang sahaja yang membeli buku saya, itu pun rakan guru. 
 Alhamdulillah, pada hari kedua ada peningkatan dan saya boleh mengukir senyuman bermakna.
 Sewaktu saya di meja jualan, saya dapat perhatikan pelbagai gelagat 
pengunjung. Ada yang sekadar lalu namun hanya melirik manja sahaja. 
 Ada yang datang menjengah dan memerhati susunan buku di atas meja. Ada 
juga yang memegang dan membelek buku yang dipamerkan. Bahkan, ada yang 
membelek gegantung promosi (barangkali tertanya-tanya, siapalah penulis 
ni?). 
 Tidak dinafikan, ada juga pengunjung yang tidak tertarik 
pun untuk melirik apatah lagi singgah untuk melihat-lihat buku yang 
dijual. Dengan kata lain, buku bukanlah magnet yang bertindak sebagai 
daya penarik.
 Walau bagaimanapun, saya berpeluang bertemu dengan
 editor majalah KUNTUM yang datang menjengah dan berbual-bual tentang 
majalahnya dan mendengar perkongsian saya tentang hal penulisan 
dengannya. 
 Saya gembira kerana saya berjaya mencabar diri 
melakukan sesuatu yang tidak pernah saya jangkakan yang saya mampu 
lakukan. Bermula daripada seorang pembaca, penulis dan kini penjual buku
 secara langsung kepada pembaca. 
 Ayuh, rakan-rakan penulis, jika
 bukan penulis  yang mempromosikan dan menjual hasil karya kita, siapa 
lagi yang kita mahu harapkan? 
Secebis Pengalaman daripada Penulis Muda

semoga terus berjaya.
BalasPadam