Pengikut

Khamis, 31 Disember 2015

Buku Pertama, Buku Terkini dan Buku Seterusnya

Assalamualaikum.

Karya eceran saya mula tersiar pada tahun 2009. Sewaktu saya menulis secara eceran, tidak pernah berfikir untuk saya menerbitkan semula karya itu dalam bentuk buku. 

Namun sejak buku pertama terbit, seperti ada "jangkitan" pula untuk saya menyusun manuskrip buku seterusnya. Hasilnya, tersusunlah manuskrip seterusnya. 

Sehingga kini daripada tahun 2009 hingga 2015, insya-Allah karya eceran itu telah dan akan dibukukan melalui:





1. Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa, ITBM 2014 (menghimpunkan 15 cerpen sekitar tahun 2010 hingga 2012)






2. Kumpulan Puisi Remaja: Madu di Tangan, ITBM 2015 (menghimpunkan 50 puisi sekitar tahun 2009 hingga 2014)







3. Kumpulan Cerpen Dewasa/Umum (menghimpunkan 18 cerpen sekitar tahun 2010 hingga 2014) - bakal terbit 2016

4. Manuskrip buku keempat masih dalam penilaian.

5. Manuskrip buku kelima masih dalam penulisan.

Oleh itu, yang belum dapatkan Tetamu Istimewa dan Madu di Tangan, sudi-sudikanlah dapatkan kedua-dua buku tersebut sebelum buku ketiga terbit.

Rabu, 30 Disember 2015

Rak Buku yang Kondusif

Assalamualaikum.

Sudah lama saya menginginkan rak buku yang betul-betul kondusif dan sesuai. Kondusif dan sesuai itu mengambil kira saiz buku dan ketinggian buku yang diterbitkan di negera kita ini. Jadi, rak yang bagaimanakah sesuai dengan kriteria itu? Jika dicari di kedai sukar untuk mendapatkan ciri-ciri rak yang saya inginkan itu. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menempak khas rak buku yang seperti saya inginkan. 


Rak buku yang kondusif ini saiznya kira-kira 10 kaki X 7 kaki. Rak ini mempunyai enam tingkat dan empat pembahagian petak. Jadi, keseluruhannya 24 petak. Setiap petak ukurannya kira-kira 2 kaki setengah. 


Alhamdulillah, rak buku yang kondusif ini diperbuat daripada besi sepenuhnya. Kukuh dan sesuai untuk menyusun buku yang agak berat. Pasti ramai yang bertanya berapa jumlah buku yang boleh disusun pada rak ini? Saya jangkakan sekitar 1500-2000 buah buku muat untuk rak ini. 


Harga? Harga rak ini ialah RM700. Bagi saya amat berbaloi. Saya tempah khas rak ini dengan tukang besi yang selalu mengambil tempahan membuat grill pintu dan tingkap rumah. Oleh itu, jika ada yang berminat untuk memiliki rak buku yang kondusif begini boleh menempah sendiri. Boleh dikatakan inilah rak buku idaman saya.


Selasa, 29 Disember 2015

16 BukuTerbaik ITBM Menang HSPM

Assalamualaikum.




Sekadar Perkongsian Buku Terbaik ITBM
Semenjak penjenamaan ITNM kepada ITBM, buku-buku terbitan ITBM telah berjaya menggondol hadiah utama penulisan di negara kita. Buku-buku tersebut terdiri daripada pelbagai genre antaranya novel - dewasa, remaja dan kanak-kanak, kumpulan puisi - dewasa, remaja dan kanak-kanak, kumpulan cerpen - dewasa dan remaja, kumpulan drama - kanak-kanak, memoir dan buku kajian sastera.

16 judul buku seperti berikut:


HSPM 2012
1. Bijak Si Katak Bijak - Siti Zainon Ismail
2. Ke Pulau Sebatik 1 - Nur Mustika
3. Inspirasi Cinta - Rozninah Abd Azib
4. Selamat Datang ke Malaywood - Roslan Jomel
5. Alien Menchari Chinta - Ramzah Dambul

HSPM 2013
6. Tercipta dari Tanya - Anwar Ridhwan
7. Hujan Hujung Januari - Rebecca Ilham
8. Suteki Da Ne Aleena - Massruhaiza Ali
9. Pesanan Pendeta - Mahaya Mohd Yassin
10. Memoir Hasrat Menyala - Amir Haji Hassan
11. Mimpi Laila - Amelia Hashim
12. Qalam Kalbu - Sri Rahayu Mohd Yusop

HSPM 2014
13. Nenek - Razali Endut
14. Oksidentalisme: Dalam Sastera Melayu - Dr Saleeh Rahamad
15. Tetamu Istimewa - Mohd Helmi Ahmad
16. Mimpi Kotaku - Hilmi Rindu @ Mohd Abdullah

Oleh itu, rugi kiranya buku-buku yang telah diiktiraf tahap kualitinya dalam HSPM misalnya, hanya terperuk di kedai buku dan stor sahaja. Selain itu, elok kiranya juga buku-buku ini dijadikan bahan kajian utama di universiti. Tahniah kepada penerbit dan penulis. Terima kasih kepada pembaca.

Rabu, 23 Disember 2015

Antologi Komsas: Budi Baik Indah Bahasa Tingkatan 2

Assalamualaikum.

2016 menyaksikan penukaran teks antologi Komsas Tingkatan 2. Antologi ini akan digunakan mulai 2016 hingga 2020. Tajuk antologi Komsas baharu tersebut ialah Budi Baik Indah Bahasa. Antologi ini memuatkan 4 buah sajak, sebuah prosa tradisional, 3 buah cerpen dan sebuah drama.


Tajuk sajak, prosa tradisional, cerpen dan drama dalam antologi Budi Baik Indah Bahasa.

Puisi Moden: Sajak
1. Dalam Persekitaran Kata-kata - Baha Zain
2. Roti - Ahmad Syahrul Wahid 
3. Kucari Damai di Sini - A. Hamid Jemain
4. Pada Sekuntum Mawar - Mahwa Mohamed

Prosa Tradisional
1. Pelanduk Mengajar Memerang

Prosa Moden: Cerpen
1. Banjir di Mata Emak - Che Soo Ismail
2. Talia dan Raksasa Qadqad - Zaniffa Azzura Abdulah
3. Menuai Emas - Salina Ibrahim

Drama
1. Mahkamah - Awang Abdullah




Antologi Budi Baik Indah Bahasa ini diterbitkan oleh Arah Pendidikan Sdn Bhd.

Jumaat, 18 Disember 2015

Novel Baharu Komsas Tingkatan 2 dan 5 Mulai 2016

Assalamualaikum.



Mulai tahun 2016, teks Komsas baharu akan digunakan oleh pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 5. Teks baharu ini akan digunakan selama lima tahun iaitu mulai 2016 hingga 2020. Pembahagian novel mengikut zon seperti berikut:

Novel Tingkatan 2


ZON 1 : NEGERI PERLIS, KEDAH, PULAU PINANG, DAN PERAK
1. Jalan ke Puncak - Juri Durabi

ZON 2 : NEGERI SELANGOR, NEGERI SEMBILAN, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR & PUTRAJAYA
2. Meniti Impian - Osman Ayop

ZON 3 : NEGERI MELAKA, PAHANG, TERENGGANU, DAN KELANTAN
3. Jejak Monpus - Zulaiha Paikon

ZON 4 : NEGERI JOHOR , SABAH, SARAWAK, DAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN
4. Darah Titik di Semantan - Arman Sani

Novel Tingkatan 5




ZON 1 : NEGERI PERLIS, KEDAH, PULAU PINANG, DAN PERAK
1. Songket Berbenang Emas - Khairuddin Ayip

ZON 2 : NEGERI SELANGOR, NEGERI SEMBILAN, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR & PUTRAJAYA
2. Tirani - Beb Sabariah

ZON 3 : NEGERI MELAKA, PAHANG, TERENGGANU, DAN KELANTAN
3. Bimasakti Menari - Sri Rahayu Mohd Yusop

ZON 4 : NEGERI JOHOR , SABAH, SARAWAK, DAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN
4. Silir Daksina - Md Nizar Parman


Oleh itu, guru-guru bolehlah buat persediaan awal sebelum memulakan sesi P&P 2016. Guru-guru yang mengajar Komsas boleh mendapatkan novel-novel ini untuk membaca, menelaah dan menghayati novel tersebut agar P&P yang dijalankan nanti lancar. 


Selasa, 15 Disember 2015

Membaca Tanggapan: Kumpulan Cerpen Remaja

Assalamualaikum.



Setelah membaca Inspirasi Cinta yang diterbitkan pada tahun 2012, saya menyimpan hasrat untuk memiliki kumpulan cerpen remaja juga. Inspirasi Cinta merupakan kumpulan cerpen remaja pertama yang diterbitkan oleh ITBM. Buku ini juga merupakan kumpulan cerpen remaja pertama terbitan ITBM yang memenangi HSPM kategori kumpulan cerpen remaja pada tahun 2012.

Hasrat saya tidak berhenti di situ saja. Oleh itu, saya mula menyusun manuskrip. Pengalaman yang cetek tidak menghalang untuk saya merealisasikan impian memiliki buku pertama. Di samping itu, saya ada juga bertanya kepada kenalan penulis cara menyusun dan menghantar manuskrip yang betul.

Alhamdulillah, Tetamu Istimewa berjaya diterbitkan pada tahun 2014. Dalam tempoh 2012-2013 tiada kumpulan cerpen remaja lain yang diterbitkan oleh ITBM. Hal ini demikian bermakna, Tetamu Istimewa menjadi buku kedua kumpulan cerpen remaja yang diterbitkan oleh ITBM.

Bertambah menariknya, apabila Tetamu Istimewa turut memenangi HSPM 2014 kategori kumpulan cerpen remaja. Dengan kata lain, Tetamu Istimewa juga turut menjadi kumpulan cerpen remaja kedua yang diterbitkan oleh ITBM memenangi HSPM.

Selepas itu barulah kumpulan cerpen remaja yang lain diterbitkan. Pada tahun 2014, antara lain seperti Janji Delila, Pari-pari Syurga, Dunia Papionini, Ralat dan Sarang Tempua di Taman Ayah.

Tidak berhenti di situ saja, 2015 penerbitan kumpulan cerpen remaja oleh ITBM disemarakkan lagi dengan penerbitan Teratak Berjasa, Tasbih Cinta Si Tua, Insan Mulia (tiada dalam gambar) Kek Keju Bersira Nasi dan diakhiri dengan Makhluk Kecil Tuhan.

Farahana Hussain menjadi penulis tunggal setakat ini yang berjaya menerbitkan dua kumpulan cerpen remaja dengan ITBM.

Saya telah membaca semua kumpulan cerpen remaja yang diterbitkan oleh ITBM. 12 judul termasuk Tetamu Istimewa, saya mendapati masing-masing ada kekurangan dan kelebihannya sendiri.

Menyentuh mengenai cerpen remaja, saya dapati masih terdapat kelonggaran yang boleh diperbaiki terutama perlabelan cerpen tersebut sebagai cerpen remaja.

1. Jika dilihat daripada satu per satu secara eceran, terdapat kumpulan cerpen yang aspek keremajaannya tidak begitu menunjang. Dengan kata lain, cerpen itu boleh berdiri sebagai cerpen dewasa atau umum. 
2. Ada juga cerpen yang jauh daripada lingkungan keremajaan.
3. Terdapat juga cerpen yang mengutarakan watak yang terlalu dewasa, tetapi tidak terkait dengan subjek keremajaan hingga menghilangkan rasa untuk dilabelkan sebagai cerpen remaja.

Bagaimanapun, setelah cerpen-cerpen ini bersatu dalam sebuah buku (kumpulan cerpen), setidak-tidaknya, memberikan keberagaman idea yang ditawarkan dan mampu mengusulkan nilai tambah kepada remaja memperoleh pengajaran.

Saya yakin dan pasti, tahun 2016 akan ada lagi kumpulan cerpen remaja yang diterbitkan. Bersama-samalah kita menyemarakkan penulisan dan penerbitan karya sastera remaja yang bermutu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78