Pengikut

Rabu, 30 April 2014

Panduan Menulis Pengalaman & Pernyataan Hasrat untuk Temu duga Guru IPG 2014

Assalamualaikum.

Borang Pengalaman & Pernyataan Hasrat
-Versi lama. 

Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi

Pepatah "bukan senang hendak menjadi senang, bukan susah hendak menjadi susah" seringkali kita dengar dalam mempertalikan apa jua perkara yang difikirkan boleh dikaitkan dengan mauduk perbincangan. 

Justeru, dalam perkongsian entri kali ini saya ingin mempertalikannya secara ringkas bahawa bukan senang hendak menjadi guru dalam konteks Sistem Transformasi Pendidikan Negara sekarang ini. 

Kenyataan ini bukan untuk menakutkan calon guru, sebaliknya sebagai satu lontaran cabaran agar calon guru lebih berdaya saing dan memiliki jati diri yang utuh bertunjangkan keimanan yang teguh. Selaras dengan itu juga, tema Hari Guru pada tahun ini, Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi dipilih sebagai wadah pembangunan pendidikan negara.

Panduan untuk Guru Institut Pendidikan Guru Malaysia 

Bermula daripada membuat permohonan, menyemak menduduki Ujian Kelayakan Calon Guru yang agak mencabar, kini sudah tiba masanya calon bersedia pula untuk sesi temu duga. Saya pernah berkongsi "Panduan Temu duga Menjadi Guru" yang saya hadiri. Boleh klik entri berkenaan jika bermanfaat. 

Saya pernah menyatakan bahawa saya hendak berkongsi tentang Panduan Menulis Pengalaman & Pernyataan Hasrat untuk temu duga calon guru Institut Pendidikan Guru 2014. Perkongsian ini berdasarkan pengalaman saya sewaktu memohon menjadi guru satu ketika dahulu. 

Semakan Panggilan Temu duga Guru 2014

Sebelum membaca lebih lanjut, adakah calon yang telah menghadiri Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) pada 14-18 April 2014 lalu telah menyemak status keputusannya? Jika belum, semak dahulu (Semakan Dibuka mulai 5 Mei 2014). Jika berjaya calon bolehlah mencetak maklumat yang diperlukan seperti Surat Panggilan Temu duga, Borang Butiran Diri dan Helaian Pernyataan Hasrat

Setelah butiran tersebut dicetak, calon hendaklah bersedia untuk fasa temu duga. Pertamanya, calon dikehendaki mengisi atau menulis borang Pernyataan Hasrat. Pada borang tersebut, calon perlu mengisi Nama, No. K/P, Kod Pusat Temu duga dan Tarikh Temu duga dengan menggunakan pen (sebolehnya pen hitam).

Semasa temu duga nanti iaitu bermula pada 12-22 Mei 2014 calon perlu membawa butiran tersebut sekali. 

Panduan Menulis Pengalaman & Pernyataan Hasrat

Pada borang Pengalaman dan Pernyataan Hasrat terdapat beberapa soalan yang harus calon menjawabnya dengan bijaksana dan teliti. Oleh itu, panduan ini bolehlah dijadikan contoh atau rujukan untuk menulis borang tersebut.

Dalam kamus Dewan Edisi Keempat, Pernyataan bermaksud, kata-kata yang menyatakan (mengumumkan) sesuatu, pemberitahuan, pemakluman atau kenyataan rasmi yang di dalamnya terkandung gagasan, hasrat isu tentang sesuatu perkara. 

i) Secara ringkas nyatakan:
a) Mengapa anda memilih profesion perguruan.

Alhamdulillah, sewaktu menulis ruangan ini saya diberikan sedikit panduan oleh seseorang yang boleh dianggapkan orang yang terpenting dalam organisasi pengurusan IPG sendiri. Beliau menyatakan kepada saya, kebiasaan calon akan menulis, mereka memilih profesion perguruan kerana minat atau cita-cita yang disemai sejak kecil.

Namun beliau menyangkal bahawa, minat tidak boleh diukur atau sukar diukur. Jadi, biarlah jawapan yang ditulis untuk ruangan ini lebih jelas dan tersurat. Oleh itu, minat biarlah berada di kedudukan kedua, ketiga atau terakhir sekali. 


Alangkah ruginya, jika saya fotostat kertas yang saya tulis itu bolehlah juga saya kongsikan jawapan lengkap yang saya tulis. Tulisan saya pada buku catatan juga entah lesap ke mana. Jadi, saya akan berkongsi apa yang saya ingat sahajalah. Perkongsian saya ini lebih menjurus kepada calon yang ditawarkan jurusan bahasa Melayu. 

1. Untuk memartabatkan bahasa Melayu.
2. Tuntutan Agama
3. Menjadi orang tengah dalam sistem pendidikan antara masyarakat.
4. Minat/Cita-cita

Setiap satu isi haruslah dihuraikan secara ringkas.


b) Pengalaman anda dalam bidang keguruan.

Saya yakin tidak semua calon mempunyai pengalaman dalam bidang keguruan. Bagaimanapun, calon boleh menulis atau berkongsi pengalaman yang pernah dilalui sebelum ini sama ada pernah menjadi guru ganti, guru tadika, guru sandaran, guru di sekolah swasta, guru tuisyen dan seumpamanya. 

Suka diingatkan supaya calon juga perlu mencatatkan tempoh masa dan tempat bertugas secara ringkas sebagai bukti yang boleh dipercayai.

(Kepada yang tidak mempunyai pengalaman ini saya kurang pasti bagaimana hendak mengisinya. Insya-Allah, jika saya ada maklumatnya akan saya kongsikan nanti.)


ii) Sekiranya anda terpilih, apakah yang dapat anda sumbangkan terhadap bidang keguruan?

Sekali imbas, sudah pastilah calon berkobar-kobar hendak menyatakan apakah sumbangan yang boleh diberikan. Namun begitu, seeloknya buatlah pilihan yang terbaik dalam memberikan sumbangan mengikut keutamaan. Antaranya:

- Menyampaikan ilmu kepada anak bangsa
- Mendidik sahsiah dan membentuk akhlak murid yang terpuji
- Sentiasa berusaha menyumbangkan idea untuk meningkatkan prestasi pelajaran murid-murid
- Menyatakan komitmen yang tinggi untuk sekolah
- Sentiasa bersedia untuk bekerja lebih masa dan bekerjasama dengan pihak pentadbir demi memajukan        sekolah.
- Sumbangan lain yang difikirkan sesuai. 

Nota: 
1. Jika kalian yang membaca entri ini jika berasakan perkongsian ini bermanfaat, sudi-sudilah kongsikan dalam apa jua laman sosial yang lain, boleh saja klik ke Facebook, Google dan sebagainya. Jangan lupa follow blog ini juga ya. 
2. Terima kasih. Kepada yang tidak segan silu hendak "copy paste" atau seumpama dengannya jangan lupa kreditkan ke blog ini ya. 
3. Jika ada pembaca yang hendak berkongsi pandangan dan menambah apa yang saya tuliskan ini, silakan tinggalkan pandangan anda itu di kotak komen. 
4. Entri ini akan saya kemaskini dari masa ke masa. 




Terlajak Laris

Assalamualaikum.


Alhamdulillah, nampaknya Buku Pelawat Tetamu Istimewa terlajak laris pula.
Pada mulanya nak printscreen 1,000,000 tapi tak menjadi pula.
Terima kasih yang sudi bertamu di teratak Tetamu Istimewa.
Moga tulisan di sini bermanfaat untuk semua.





Selasa, 29 April 2014

Semakan Tawaran ke Tingkatan Enam (6) 2014/2015

Assalamualaikum.


SEMAKAN

TINDAKAN :
Sila semak dengan teliti maklumat yang dipaparkan. 
Sekiranya anda berjaya dan bersetuju dengan tawaran ini, surat tawaran MESTI DICETAK SEGERA dan dibawa semasa hari pendaftaran di sekolah yang ditetapkan pada 05 MEI 2014

PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA (PLKN)
Sukacita dimaklumkan bahawa murid yang berjaya dan menerima tawaran ke Tingkatan Enam Tahun 2014 dan sedang mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan 2, mereka diberi pelepasan awal iaitu pada 02 Jun 2014. Mereka akan mula mendaftar masuk ke Tingkatan Enam pada 04 JUN 2014 (Rabu). Sementara itu, calon yang terpilih untuk mengikuti PLKN Kumpulan 3 dikehendaki membuat permohonan penangguhan daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) melalui laman web JLKN www.khidmatnegara.gov.my

Syarat Kemasukan Murid Tingkatan Enam Jurusan Sains dan Kemanusiaan


Syarat Kemasukan Murid Tingkatan Enam Jurusan Agama



Cara Pengiraan Mata Gred




Isnin, 28 April 2014

PBAKL 2014: Apakah yang Diharapkan?


Selamat petang semua. Tatkala saya menaip entri ini, hujan belum reda semenjak turunnya sekitar pukul 3 petang lagi. Bagaimanapun, kedinginan itu tidak sesekali membekukan peristiwa pada hari sabtu lalu yang masih tersimpan rapi di laci ingatan saya. 

Saya mulakan entri mengulas buku yang saya beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014 dengan satu pertanyaan kecil, "Apakah yang anda harapkan di PBAKL 2014?" Sekiranya hendak disenaraikan sebab musababnya sudah pastilah pelbagai yang barangkali merangkumi perkara berikut:

1. Inginkan buku baharu terbit
2. Potongan harga (diskaun)
3. Buku yang sukar ditemui di kedai buku biasa
4. Bertemu dengan penulis

Gambar yang saya perturunkan dalam entri ini boleh menjelaskan perkara yang saya senaraikan di atas. Ada ketika, apa yang kita hasratkan tercapai ada kalanya pula tersasar dan tergantung begitu sahaja. Seperti yang saya katakan sebelum ini Majalah Dewan Tamadun Islam dan Pelita Bahasa yang menyiarkan karya saya, sukar untuk saya  temui. Alhamdulillah, di PBAKL segalanya terlaksana.

Selain itu, satu-satunya buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang saya beli ialah KELAMBU KALBU, karya Jamaludin D. (allahyarham). Saya pernah berkongsi kisahnya di sini: Kembalinya Penyair Jamaludin D. Sebenarnya, saya inginkan lebih buku terbaharu terbitan DBP, malangnya harapan saya itu tergantung begitu sahaja. Saya disogokkan dengan beberapa alasan yang saya fikir, sangat dangkal untuk diterima bulat-bulat.

Sewaktu di PBAKL 2014 saya terpaksa hadapi senario ini.

Ikuti dialog ini:

Boleh saya tolong
Saya nak cari buku Di Padang Ilmu
Siapa penulisnya?
Awang (bukan nama sebenar). Dah allahyarham.
(jurujual itu pun mencarinya sekitar rak buku)
Betul ke terbitan XXX?
Betul.
Rasanya ZZZ.
Bukan. Memang terbitan XXX.
Terbitan bila?
2014.
Rasanya bukan penulis XXX. Tak pernah dengar pun nama tu.
(jurujual itu masih mencari)
Saya tengok dalam portal OOO. Kalau tak percaya boleh semak.
Jurujual itu ke meja di bersebelahan kaunter untuk membuat semakan. Saya kemudiannya, mengekorinya.
Berkali-kali dia menaip tajuk buku tersebut. Akhirnya, muncul juga. Kemudian, dia mencapai katalog buku mereka yang sudah tersedia di kaunter pembayaran.
Oh, ini ke bukunya?
Ya, mungkin tak masuk pasaran lagi.
Sekali lagi saya hampa. Saya memintanya mencari buku lain, penulis yang sama.
Apabila tidak jumpa buku tersebut, dia memaklumkan kepada saya: selalunya kami tak bawa semua buku ke sini (PBAKL). Kalau nak, kena oder.
Tanpa membuang masa, saya meninggalkan gerai tersebut.

Entri ini bukan hendak mengaibkan mana-mana pihak. Tetapi pada pandangan saya selaku syarikat penerbitan yang gah dan besar harus menitikberatkan apa yang saya perkatakan ini. Jika tidak, PBAKL sekadar gah dari segi nama sahaja. 

1. Jurujual harus bersedia untuk melayan pelangan dengan maklumat yang cukup.
2. PBAKL sekiranya mampu, dijadikan pasaran terbaik memasarkan buku terbitan terbaharu. 

Saya kagum dengan syarikat penerbitan Indie-Fixi. Jika anda berkesempatan ke sana, jurujualnya cukup bergaya dan yakin mempromosikan buku terbitan mereka, malah akan mensyorkan pula buku-buku terbitan mereka itu dengan penerangan sinopsis yang menarik.

Apa yang hendak saya sampaikan dalam entri ini barangkali sama seperti apa yang saya tulis dalam satu artikel ini: Menghayati Budaya Menghargai Buku.



Contoh RPH Bahasa Malaysia Tema Jati Diri, Patriotisme dan Kewarganegaraan Tahun 4 KSSR

Assalamualaikum.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah pun memasuki Tahun 4 di sekolah rendah sekarang ini. Walaupun PBS ditangguhkan seketika, namun guru dan murid harus meneruskan pembelajaran dan pengajaran (PdP). Oleh itu, di sini saya kongsikan Tema yang dipelajari oleh murid Tahun 4 dalam Bahasa Malaysia.

1. Kekeluargaan
2. Kemasyarakatan
3. Kesihatan dan Kebersihan
4. Keselamatan
4. Perpaduan
5. Kebudayaan, Kesenian dan Estetika
6. Jati Diri, Patriotisme dan Kewarganegaraan
7. Sains, Teknologi dan Inovasi
8. Alam Sekitar dan Teknologi Hijau
9. Pertanian dan Penternakan
10. Ekonomi, Keusahawanan dan Pengurusan Kewangan

Untuk entri kali ini dan beberapa entri akan datang saya akan berkongsi tentang Rancangan Pelajaran Harian (RPH) Bahasa Malaysia Tahun 4 KSSR mengikut tema yang disenaraikan di atas. Contoh RPH ini diperoleh hasil daripada kursus yang dihadiri oleh guru di sekolah saya pada tahun lepas.

Jati diri, patriotisme dan kewarganegaraan
kredit foto dari abihulwa.blogspot.com


RANCANGAN PELAJARAN HARIAN 
BAHASA MALAYSIA
TEMA JATI DIRI, PATRIOTISME DAN KEWARGANEGARAAN
TAHUN 4 KSSR

TEMA
JATI DIRI, PATRIOTISME DAN KEWARGANEGARAAN

TAHUN
4 CERIA

TAJUK
CERITA DATUK

MASA
7.30 – 8.30 pagi

STANDARD
PEMBELAJARAN
3.2.7  Menulis ayat majmuk secara mekanis dalam
          bentuk tulisan berangkai dengan betul dan
          kemas.
5.1.6  Memahami dan menggunakan kata hubung
          pancangan keterangan dengan betul mengikut
          konteks.

OBJEKTIF
Pada akhir pengajaran,murid dapat:
i.        menulis ayat majmuk menggunakan kata hubung
          yang sesuai dalam bentuk tulisan berangkai.
ii.       memadankan ayat tunggal dengan kata hubung
          yang sesuai dan menulisnya dalam bentuk
          tulisan berangkai.

AKTIVITI
1.     Murid menyanyi lagu “Tanggal  31”, kemudian
       guru bersoal  jawab tentang lagu dan
       mengaitkan dengan tajuk.

2.     Guru memaparkan teks petikan pada skrin dan
        minta murid membaca teks petikan dan bersoal
        jawab mengenainya.

3.    Murid diminta membaca perkataan yang berwarna
       dan menyenaraikannya pada papan tulis.

4.    Guru menjelaskan kepada murid tentang
       perkataan berwarna tersebut (kata hubung)
       dengan memberikan contoh lain.

5.    Murid dibimbing membina dan menulis ayat
       majmuk  menggunakan kata hubung.

6.    Murid menyanyikan lagu Jalur Gemilang.

Pemulihan

Murid melengkapkan ayat menggunakan kata hubung yang diberi.

Pengayaan

Murid membina ayat majmuk.

PENGISISN
KURIKULUM
Ilmu   :  Sejarah

Nilai  :  Semangat Patriotisme

EMK  :   Kreativiti

KB     :   Menjana idea, mengecam

BCB   :  Bacaan mekanis

BAHAN BANTU
LCD,  bendera Malaysia , lembaran kerja.



Nota: RPH ini sekadar contoh dan panduan sahaja. Boleh ditambahbaik mengikut kesesuaian.

Ahad, 27 April 2014

Meraikan Pesta Ilmu di PBAKL 2014

Assalamualaikum. 

Alhamdulillah, hari ini dapat menerbitkan entri lagi di blog ini untuk perkongsian dengan pembaca semua. Semalam tak terbitkan entri sebab ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur PBAKL 2014. Sengaja saya tidak mengajak mana-mana rakan sebab saya tidak mahu menganggu masa hujung minggu mereka yang barangkali ada urusan masing-masing ataupun mahu berehat. 

Sudah tengokkah buku yang saya beli di PBAKL 2013? Jika ada masa bolehlah jenguk-jenguk, mana tahu kalau ada yang berkenan: Kembara Buku di PBAKL 2013

Pada tahun ini, rasanya tidaklah banyak buku yang dibeli. Namun, perbelanjaan lebih kurang sama sahaja pada tahun lepas. Ada yang boleh teka jumlah kesemuanya? Kalau ulat buku pasti dapat meneka. 

Di PBAKL ini juga sempat saya memperbaharui langganan majalah Tunas Cipta (mula - Julai 2014 - Jun 2015), Pelita Bahasa (mula - Jun 2014 - Julai 2015) dan Dewan Sastera (mula - Ogos 2014 - Julai 2015). Pada kesempatan ini saya ingin menghebahkan bahawa majalah terbitan DBP tahun 2013 dijual satu set dari Januari hingga Disember 2013 dengan harga RM10. 

Seperti yang saya khabarkan sebelum ini buku yang menjadi buruan saya ialah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Buku ITBM yang sempat saya jaring adalah seperti berikut:

Buku ITBM yang dibeli di PBAKL 2014

Kumpulan Puisi terbitan ITBM

Kumpulan Cerpen terbitan ITBM

Novel terbitan ITBM

Kalau nak belajar menulis puisi boleh baca buku ini
terbitan Utusan 3 siri semuanya

Siri Citra Cendekia terbitan Ana Muslim

Masih panas hanya di PBAKL 2014

Akhirnya, Dewan Tamadun Islam April dan Pelita Bahasa Mac 2014
yang menerbitkan karya saya berada di tangan



Untuk ulasan dan cerita lanjut untuk hasil belian ini akan saya ceritakan dalam entri yang seterusnya nanti. Setiap koleksi yang saya beli ini sudah pasti ada matlamatnya yang bukan sahaja untuk membaca. Jika hendak tahu, kenalah baca entri seterusnya nanti. 

Rasanya hendak pergi sekali lagi ke PBAKL 2014 ni. Tetapi belum pasti bila. Kepada yang belum pergi, apa yang boleh saya katakan amat rugilah lepaskan peluang setahun sekali ini. Sebelum terlambat masih berbaki masa untuk menyerbunya hingga 4 Mei 2014 melabuhkan tirai harinya.

Nota: Kepada yang sudah pergi tu, rajin-rajinkanlah diri anda untuk berkongsi buku yang dibeli. 


Jumaat, 25 April 2014

Sesi Bersama Penulis ITBM - Mohd Helmi Ahmad di PBAKL 2014

Bukan main gempak tajuk entri inikan, sesi bersama penulis ITBM. Macamlah popular sangat! Saya menerima kiriman e-mel daripada ITBM dengan menawarkan peluang untuk menyertai Sesi Bersama Penulis ITBM. 

Jika bersetuju pihak ITBM meminta saya menyenaraikan tarikh dan masa untuk dipertimbangkan serta melampirkan sekali gambar untuk tujuan penyediaan poster. 

Namun begitu, saya menolaknya kerana saya belum bersedia dan ekoran daripada masa saya yang tidak menentu. 

Jika boleh sekalipun hanya pada hujung minggu, itupun bergantung sekiranya jadual saya tidak bertembung dengan kelas tambahan. Untuk tidak mengambil risiko, saya menarik diri. 

Bagaimanapun, Insya-Allah saya akan tetap ke sana sebagai seorang pengunjung. 



JADUAL SESI BERSAMA PENULIS ITBM


24 April 2014 | Khamis

12.00 tengah hari   : Dr. Farid Shahran

4.00 petang        : Nazel Hashim

6.00 petang        : Nazri Hussien 



25 April 2014 | Jumaat

11.00 pagi : Ruzaini Yahya

6.00 petang : Abd. Razak Adam



26 April 2014 | Sabtu

5.00 petang : Dayangku Mastura & Hani Salwah



27 April 2014 | Ahad

11.00 pagi : Pyan Habib

2.00 petang : Dr. Siti Zainon Ismail & Siti Zaleha M. Hashim

4.00 petang : Zulkifli Khair



28 April 2014 | Isnin

1.00 petang : Ridzuan Harun

4.00 petang : Rosani Hiplee

6.00 petang : Nazrul Kama



29 April 2014 | Selasa

2.00 petang : Abdul Ghaffar Ibrahim (AGI), Shahanz Akbar & Rosmiaty Shaari

6.00 petang : Amelia Hashim



30 April 2014 | Rabu

2.00 petang : Roslan Jomel

4.00 petang : Zainal Abas (Kasajiza A.S)

5.00 petang : Ladin Nuawi & Nur Mustika

6.00 petang : Hasanudin Md Isa



1 Mei 2014 | Khamis

5.00 petang : Wan Nor Azriq



2 Mei 2014 | Jumaat

11.00 pagi : Haniza Hamzah (Nilamsuri) & Rositah Ibrahim

4.00 petang : Anuar Othman & Jais Sahok

5.00 petang : Norhisham Mustafa & Alias Ismail



3 Mei 2014 | Sabtu

5.00 petang : Jeniri Amir & Mahaya Mohd Yassin



4 Mei 2014 | Ahad

2.00 petang : Dato' Dr. Zurinah Hassan & Raihani Mohd Said


4.00 petang : Salina Ibrahim



Diskaun Tetamu Istimewa

ITBM menawarkan diskaun istimewa sempena pesta buku PBAKL ini. Jadi, rebutlah peluang untuk memiliki buku terbitan mereka. Kalau tidak tahu nak beli buku apa, belilah buku saya Tetamu Istimewa. Oleh itu, para pembeli akan jimat kos pos penghantaran. Jika hendakkan harga yang lebih istimewa lagi, temui saya di sana. Saya boleh berikan harga yang lebih istimewa. Jika ada pembeli yang inginkan tanda tangan saya untuk buku Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa saya sedia menurunkannya pada buku tersebut. 

Sebenarnya sudah tidak sabar-sabar saya hendak ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014 yang bermula pada hari Khamis lagi. Insya-Allah, jika tidak ada aral melintang saya akan ke sana pada esok hari. Jika ada yang terserempak dengan saya nanti, bersapalah ya, kalau bukan sebagai penulis, sebagai blogger atau sebagai guru pun tidak apa. Jangan malu-malu dan jangan segan. 

Ayuh, kita semarakkan dunia pembacaan. Saya akhiri dengan kata-kata ini untuk renungan bersama:
Tidak akan tumbuh pohon ilmu, jika tidak disemai benih membaca. Tidak akan subur pohon amal, jika tidak dibajai dan disirami dengan aktiviti membeli dan membaca.

Nota: Mood sedang membuat congakan dan penyenaraian untuk buruan buku di PBAKL nanti.



Bagaimana Anyss Naik ke Langit - Buku Terbaharu Faisal Tehrani di PBAKL 2014

Assalamualaikum.

Sudahkah kalian semua ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014
Jika belum, apa tunggu lagi, jomlah kita ke sana. 

Bukan namanya penulis jika tidak gemar membaca dan membeli buku. Jadi, PBAKL bolehlah dikatakan "syurga" tempat penulis mengembara mencari buku sama ada baharu ataupun yang dah lama terbitnya. Saya mendapat perkhabaran bahawa Faisal Tehrani kembali dengan buku baharunya BAGAIMANA ANYSS NAIK KE LANGIT - terbitan DUBOOK PRESS setelah tahun lepas tiada buku baharunya yang terbit. Buku ini berharga RM18. Teruja saya untuk mendapatkannya. 

Biarlah spekulasi dan pelbagai lagi tanggapan yang dilemparkan kepada karyanya, tetap saya katakan beliau mempunyai aura tersendiri. Karyanya sangat hebat. Itu bukan bermakna kalau saya baca buku beliau (yang dikatakan banyak unsur atau ajaran syiah) saya akan jadi begitu. Terpulang kepada pembaca. Yang penting selepas saya membaca karyanya saya berasa puas. 

Antara koleksi bukunya (novel) yang telah saya miliki; Rahsia Ummi, Maaf dari Sorga, Tunggu Teduh Dulu, Advencer Si Peniup Ney, Manikam Kalbu, Tuhan Manusia, Tiga Minggu Sekali (kumpulan cerpen), Kekasih Sam Po Bo (kumpulan cerpen), 1515, Ikan Fugu, Lukisan & Jimson, Bila Tuhan Berbicara, Ketupat Cinta, Sebongkah Batu di Kuala Berang, Perempuan nan Bercinta dan beberapa buah lagi. 


Dua tahun lepas, apabila organisasi yang dikendali Profesor Anyss mendedahkan terdapatnya kes rogol yang berulang menimpa gadis-gadis Penan, organisasi pimpinannya sudah diganggu.
Ujian-ujian rasmi yang dijalankan di makmal Hospital Umum Sarawak di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Kuching tidak memihak. Malah Profesor Anyss berasa Jabatan Patalogi di situ menyembunyi sesuatu. Dan dia tentu tidak dapat membuktikannya. Profesor Anyss kemudian mengguna kabel peribadi untuk memeriksa bukti-bukti yang diserah oleh Ratu, dan seorang orang dalam. Terkerlip di matanya wajah Profesor Shahrom lagi, “Anyss, aku dapat katakan yang aku menemui air mani manusia. Ini kerana mani mempunyai kepekatan asid fosfatase tinggi, dan ujian fosfatase pada sampel kain pelikat Ratu melebihi 25 unit K.A. Itu adalah positif.”
Anyss berasa sebal. Bengang. Rasa dinyala, dan hati bagai disiat. Profesor Shahrom meneliti foto-foto yang diambil pada tubuh Ratu, sejam selepas peristiwa rogol itu terjadi. Foto-foto jarak dekat itu mampu menceritakan segala-galanya.
                                                                                                                         FAISAL TEHRANI

Khamis, 24 April 2014

Simpang ke Akhirat

Dewan Tamadun Islam April 2014

Alhamdulillah, setelah lama saya tidak menukang karya terutama puisi saya mendapat perkhabaran bahawa puisi saya yang berjudul Simpang ke Akhirat disiarkan di Dewan Tamadun Islam, April 2014 terbitan DBP. Bertambah terujanya saya lagi apabila puisi ini merupakan puisi pertama saya yang disiarkan di majalah ini setelah beberapa kali menghantar karya sebelum ini.

Bagaimanapun, belum sempat lagi saya melihatnya kerana majalah ini belum berada di tangan saya. Sebelum ini artikel saya yang tersiar di Pelita Bahasa, Mac 2014 juga belum saya tatap. Pernah juga dicari majalah ini di pasaran tetapi habis. Insya-Allah, pasti di PBAKL nanti majalah-majalah ini akan menjadi buruan saya.

Saya rindu untuk menulis seperti pada awal pembabitan saya dalam dunia penulisan. Saya begitu ghairah menghantar karya. Sehingga kini, saya masih mencari rentak itu kembali. Saya tidak rela kehilangannya.

Nota: Masih sabar menanti penerbitan kumpulan puisi remaja saya yang pertama yang dikhabarkan kemungkinan  terbitnya pada bulan Julai nanti.



Jemputan ke Majlis dan Acara Anjuran ITBM Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014

Assalamualaikum dan salam sejahtera.



Sukacita dimaklumkan bahawa Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) sekali lagi pada tahun ini akan menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 24 April hingga 4 Mei 2014. Pelbagai acara perkongsian ilmu dan majlis pelancaran buku terbaharu terbitan ITBM akan diadakan bersempena PBAKL 2014 kali ini. Berikut adalah butiran mengenainya:


MAJLIS PELANCARAN ANTOLOGI CERPEN INDONESIA-MALAYSIA
Tarikh                    : 24 April 2014 (Khamis)
Masa                      : 2.00 hingga 4.00 petang
Lokasi                    : Pentas Utama, PBAKL 2014, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), KL.
Tetamu Kehormat   : Tuan Yang Terutama Herman Prayitn, Besar Republik Indonesia ke Malaysia


MAJLIS PELANCARAN BUKU JATUH KE LAUT MENJADI PULAU: SAJAK-SAJAK LENGKAP MUHAMMAD HAJI SALLEH
Tarikh                    : 26 April 2014 (Sabtu)
Masa                      : 2.00 hingga 4.00 petang
Lokasi                    : Pentas Utama, PBAKL 2014, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), KL.
Tetamu Kehormat  : YBhg. Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia


MAJLIS PRAPELANCARAN SAYEMBARA PENULISAN ITBM-PENA-BH II
Tarikh                    : 1 Mei 2014 (Khamis)
Masa                      : 12.00 tengah hari
Lokasi                    : Gerai ITBM, PBAKL 2014, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), KL.
Tetamu Kehormat   : YB Datuk Hj. Mohd Arifin Mohd Arif, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah

MAJLIS PELANCARAN ANTOLOGI CERPEN MALAYSIA-TAIWAN
Tarikh                    : 1 Mei 2014 (Khamis)
Masa                      : 3.00 hingga 4.00 petang
Lokasi                    : Pentas Utama, PBAKL 2014,
                                Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), KL.

JADUAL WAWANCARA SOFA PUTIH ITBM 2014

Selain itu, untuk makluman Tuan/Puan juga, seperti tahun-tahun sebelum ini, ITBM akan mengadakan sesi Wawancara Sofa Putih ITBM, yang merupakan acara wajib ITBM semasa PBAKL sejak 2010. Acara yang telah masuk tahun kelima penganjurannya ini merupakan sesi perkongsian ilmu bersama ahli-ahli panel tersohor yang akan membincangkan pelbagai topik hangat mengenai industri penerbitan, perbukuan, terjemahan dan kesusasteraan. Berikut adalah jadual Wawancara Sofa Putih ITBM untuk rujukan Tuan/Puan:


JADUAL WAWANCARA SOFA PUTIH ITBM
PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR (PBAKL 2014)
TARIKH
MASA
TOPIK
PANELIS
KHAMIS, 24 APRIL 2014
1.00 petang
Kaitan Sastera dengan Masyarakat: Bagaimana Menghubungkan Malaysia dan Indonesia.
Dr. Saleeh Rahamad
Rahimidin Zahari
Naning Pranoto
Dr. Free Hearty
JUMAAT, 25 APRIL 2014
4.00 petang
Hadiah dan Anugerah: Sejauh Mana Ia Mampu Melahirkan Pelapis Penulis Mapan.
Wan Nor Azriq
Ruhaini Matdarin
Ridzuan Harun
SABTU, 26 APRIL 2014
1.00 petang
Cabaran Menyalurkan Peradaban Malaysia kepada Dunia Melalui Agenda Terjemahan.
Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh
Dato' Dr. Zurinah Hassan
AHAD, 27 APRIL 2014
1.00 petang
Citra Sastera Borneo: Perlukah Bereksperimen untuk Bersaing dalam Dunia Sastera Serantau?
Dr. Ramzah Dambul
Roslan Jomel
ISNIN, 28 APRIL 2014
2.00 petang
Puisi Lama, Puisi Baharu : Mencipta 'Keanehan' Tanpa Batasan
SN Dato' Baharuddin Zainal
Sutung Umar RS
SELASA, 29 APRIL 2014
1.00 petang
Benarkah Ekspresi Watak Wanita dalam Novel Lebih Menghampiri Realiti Apabila dihasilkan Penulis Wanita
Siti Jasmina Ibrahim
Sri Diah
RABU,
30 APRIL 2014
1.00 petang
Pengganti Mokhtar Dahari: Isu Misi dan Realiti.
Dato' Santokh Singh
Cikgu Ahmad Mahmud
Zinitulniza Abdul Kadir
KHAMIS,
1 MEI
2014
1.00 petang
Benarkah Industri Buku Malaysia Sudah Tepu?
Dato' Ivan Hoe Wat Sing (MBEIA)
Ishak Hamzah (MABOPA)
Law King Hui (SASBADI)
JUMAAT, 2 MEI 2014
3.00 petang
Sejauh Mana Pengaruh Wartawan Penting dalam Menyampaikan Sindiran Politik, Ekonomi dan Budaya dalam Sastera Nasional
Ku Seman Ku Hussain
Nazmi Yaakob
Fadli Al-Akiti
SABTU, 3 MEI 2014
1.00 petang
Wajarkah Novel Popular yang Laris di Pasaran Dilabel Tidak Mewakili Pemikiran Budaya Tinggi?
Ramlee Awang Murshid
Fauziah Ashaari
AHAD,
4 MEI
2014
1.00 petang
Bolehkah Peradaban dibina Menerusi Teater dan Mampukah Persaingan Budaya Popular ditangani?
Dato' Johan Jaafar
Khalid Salleh


Nota: Saya menerima jemputan ini daripada pihak ITBM melalui kiriman e-mel. Oleh itu, saya panjangkan kepada umum supaya acara yang dijalankan meriah dan mendapat sambutan ramai.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78