Pengikut

Jumaat, 30 November 2012

November di Hujung Julai


November di hujung julai. Esok kita akan melangkah ke Disember pula. Cepat tidak cepat itulah masa. Pernahkah anda membaca puisi ini? Saya perturunkan sebuah puisi di sini untuk sama-sama kita hayati. 

DI BULAN, KITA BERDUA

Walau tidak mungkin
kupinta waktu
menjadi beku
tetapi tetap kuingin
tiada yang berlalu
seperti saat pertama
aku mengenalmu
dan mereka, biarkan
terus menjadi kaku
memberi kita ruang
untuk saling berbagi kenal
dan tahu.

Marsli N.O
Dewan Sastera, Julai 2012

Biar apa-apa sekalipun tafsirannya, saya ingin menyatakan bahawa saya merindui di awal mula saya menceburi bidang penulisan ini. Hingga terkadang memori itu sering beradu bersama mimpi. Sayang untuk saya lepaskannya saat mentari mengejutkan lena. Namun, harus saya sedar waktu itu tidak mungkin beku untuk terus melayani kasih saya padanya. Harus bagaimana saya untuk berbagi waktu untuk saya terus mengenal dunia ini? Melainkan saya harus terus kekal berada dalam dunia ini.

Untuk kisah yang lain, pasti, saya kira para penulis sekarang ini sedang bertungkus lumus untuk menyiapkan manuskrip novel mahupun apa-apa manuskrip untuk dikirimkan untuk menyertai sayembara. Saya kira pada tahun ini ada beberapa sayembara sedang menanti. Cukuplah saya kira saya memberi sokongan kepada mereka ini. 

Bagi penulis eceran, pasti mengharapkan Disember 2012 yang bakal hadir dan pergi nanti, menyaksikan karya yang dihantar tersiar tidak kira sama ada di surat khabar ataupun majalah. 

Begitu juga dengan saya. Harapan saya Disember yang bakal menjelang membawa cahaya dan rahmat. 

*Ayuh Harimau Malaya kita baham Garunda.

Rabu, 28 November 2012

Mari Berkenalan dengan Rakan Penulis

Menjadi seorang penulis walaupun duduk berkurung dalam dunianya sendiri (bilik untuk menulis) seseorang penulis itu juga perlu bergaul dengan orang luar. Mencari rakan-rakan untuk bertukar-tukar cerita dan pandangan.

Bercerita tentang rakan penulis, sudah lama saya hendak berkenalan dengan penulis ini MOHD ADID AB RAHMAN. Seorang penulis yang cukup prolifik. Sekiranya anda menyedari, dan jika anda rajin menyelak majalah atau surat khabar pasti namanya akan jelas terpampang. Beliau terlibat dalam penulisan puisi dan pernah suatu ketika dulu menulis rencana agama.

Oleh itu, pelbagai usaha telah saya lakukan. Akhirnya, Allah mempertemukan juga saya dengan beliau walaupun secara maya, iaitu melalui e-mel. Terima kasih juga kepada IDANRADZI yang turut berusaha mempertemuka kami. Saya perturunkan di sini detik-detik perkenalan kami. Ada antaranya telah saya murnikan untuk tatapan pembaca.



"Assalamualaikum wr wb


    Alamat emel ini saya peroleh dari seorang sahabat Tuan Idanradzi, lalu saya terus menulis dalam rangka menambah rakan penulis.

    Sdr. Helmi boleh panggil saya dengan menyebut 'nama' pun tak kisah, 'ustaz' pun boleh, 'abang' pun sesuai, 'Pakcik' juga tak ada masalah. Tapi 'tuan', seolah-olah "besar sangat ke aku ni?".  Umur saya pun sudah tua. Sdr. Helmi saya tengok gambarnya masih muda belia. Masih panjang lagi waktu untuk menulis dan mempertingkat mutu penulisan. Saya minat cerpen, tapi bila menulis tak pernah jadi. Saya dalam hal ini, mahu juga belajar dengan Helmi di mana cerpen-cerpennya ada-ada saja yang terbit.Tahniah, dan teruskan usaha yang baik ini.


    Puisi saya yang sudah tersiar sudah lebih 200 buah. Saya kumpulkan dalam beberapa buah fail. Layak puisi-puisi saya hanyalah berada dalam fail bukan antologi. Satu bulan sajak saya tersiar paling kurang 3 buah.  Kalau setahun 36 buah.
    Biasanya saya tahu karya tersiar melalui telefon rakan-rakan penulis seperti Ami Masra, Ehsan Jamily, Pena Mutiara, Aladin Mohamad, Leo AWS, Mahad Abu Bakar dan lain-lain. Kadang-kadang saya ke kedai, belek-belek majalah atau akhbar yang berkenaan saja. Kena marah dengan penjual itu sudah biasa, "kalau nak baca, pergi ke perpustakaan!" ucapan begini pernah saya alami. Rasa tebal muka. Bukan belek saja, saya beli juga sebenarnya walaupun tak ada puisi saya. Begitulah nasib seorang penulis seperti saya. Dewan Sastera November 2012, saya tahu ada sajak saya tersiar adalah melalui rakan-rakan saja. Majalah tersebut belum lagi saya memilikinya.

    Saya menulis sejak 1984 hingga sekarang dan puisi pertama tersiar di RTM Angkasapuri dalam rancangan Bunga Bangsa tajuknya 'Pak Tani' jika tidak silap, kemudian rancangan Sudut Sastera di RTM Kawasan Timur (saya berasal dari Kelantan), majalah Mastika, Aktual, Al-Kiblat, Utusan Zaman,Sarina, Dian dll (semua majalah tersebut sudah mati kecuali Mastika tapi isinya sekarang dalam bentuk cerita-cerita misteri bukan ilmiah). Di samping puisi saya juga menulis artikel agama pernah tersiar di Berita Harian, Dewan Siswa, Siasah, Dewan Falsafah dan Agama (sudah mati) dll.

    Seperti Helmi, saya juga guru di SMK Selandar. Tugas guru sekarang semakin banyak, telah membataskan usaha menulis artikel agama. Sejak awal 2012 ini, saya berhenti menulis artikel agama yang memerlukan masa dan bahan rujukan. Cerpen? Bahagian ini saya angkat tangan. Rasanya Helmi lebih layak. Saya tetap menyokongnya. Teruskan, jangan persia kebolehan anugerah Allah SWT."

Inilah puisi pertama beliau yang saya baca. Ketika itu  saya menjangkakan beliau merupakan seorang pelajar sekolah kerana di akhir puisinya tertera nama sekolah. Rupa-rupanya nama sekolah tempat beliau bertugas. Puisi ini disiar sekitar tahun 2009.

PERJALANAN INI

Mawar itu leka bermain
dengan wanginya sendiri
Seperti kanak-kanak yang 
belum berdosa
Ketika pagi mengejutkan
burung-burung yang lelap
Lalu terbang tinggal dahan
Mengarahkan diri ke padang
rezeki
Sebuah kesenangan berbunga
Di sela-sela putaran hidup
Memang menjadi mimpi agung
semua orang.

Perjalanan ini
Mencari kesenangan hakiki
Bertahun-tahun
Akhirnya kutemukan
Setelah iman bertunas subur
di jiwa.

Karya,
Mohd Adid Ab Rahman
SMK Selandar, Melaka.

P/S: Emel ini telah mendapat kebenaran daripada penulis sebelum dikongsikan dengan pembaca semua. Harap, jika hendak mengopinya perlulah beritahu saya dahulu dan mengkreditkan kepada tuan punya blog.

Ahad, 25 November 2012

Surat Kepada Editor Edisi November 2012 di Dewan Sastera



Buat kali keduanya surat saya disiarkan oleh Dewan Sastera. Kali ini pada bulan November 2012. Dengan judulnya, Dewan Sastera Bertambah Interaktif. Antara intipati surat ini, saya menulis tentang editor baharu telah berjaya memimpin editorialnya untuk mengorak langkah dengan menambahbaik ruangan dalam Dewan Sastera. Antara ruangan tersebut, Emmamalia, Orasi dan Cerpen Terjemahan

Sabtu, 24 November 2012

Koleksi Buku Baharu: Kumpulan Cerpen dan Kumpulan Puisi


Pertama kali saya membaca kumpulan cerpennya-GUNTING (terbitan ITBM) saya sudah terpesona. Lantas saya berkira-kira untuk mencari kumpulan cerpennya yang lain. Cerpennya berlangsung dalam emosi yang tidak menentu. Saya tertarik dengan cerpen 'HANTU' nya. MARSLI N.O, bukanlah nama yang perlu diperkenalkan lagi dalam dunia penulisan. Sememangnya, penulis ini mempunyai pengaruhnya tersendiri. Miliki pola penulisan yang barangkali sesetengah pihak mendakwa agak keras. 

Apabila saya ke kedai buku tempoh hari, saya meneliti dari rak buku ke rak buku. Akhirnya, terjumpalah DEMI (terbitan 1998) dan MASIHKAH AKU BERMIMPI (terbitan 2012), kumpulan cerpen MARSLI N. O. Tanpa berfikir panjang saya mengambilnya untuk membeli dan meneruskan pencarian buku yang lain pula. 

Kemudian, saya juga berhasrat mencari kumpulan cerpen ROSLAN JOMEL. Penulis yang menulis tidak mengikut norma penulisan. Maksudnya, kadang-kadang watak yang dijadikan ceritanya tidak terjangkau dalam pemikiran kita. Latarnya juga kabur. Tetapi masih memiliki keistimewaannya. Setelah saya miliki SELAMAT DATANG KE MALAYWOOD, saya bercita-cita untuk mendapatkan NAMAKU EPAL KUNING. Sebelum ini berkali-kali saya hendak membelinya, tetapi ketika itu niatnya tidak kuat. Akhirnya, kumpulan cerpen ini berjaya juga menjadi koleksi saya. Biarpun penat menghabiskan SELAMAT DATANG KE MALAYWOOD belum lagi usai. Tambah-tambah setelah membaca LELAKI YANG MENETAK ANAKNYA. Kebanyakan cerpen ROSLAN JOMEL ditulis dalam kuantiti muka surat yang panjang. 

Saya pernah mendengar NISAH HARON pernah menguar-uarkan akan kumpulan puisi KASIH BONDA -KAMPUNG PAYA KAMI. Kumpulan puisi ini disekalikan dengan coretan lukisan tangan penulisnya, iaitu SITI ZAINON ISMAIL. Satu nama besar dalam dunia penulisan, khususnya berlegar dalam ketokohan seorang penulis wanita yang berjaya. Tanpa menunggu lebih lama, saya menyambutnya, kemudian terus membayar. Jika saya menunggu lebih lama, saya akan berubah fikiran.



Sewaktu saya pergi ke kedai buku tersebut, saya masih menanti majalah langganan saya sampai iaitu TUNAS CIPTA dan DEWAN SASTERA. Namun, sudah terlanjur ke kedai buku yang menjadi wakil pengedar DBP, saya menyambar DEWAN BUDAYA, PELITA BHASA, DEWAN SISWA serta MASTIKA (bukan di kedai yang sama).

Kenapa saya membeli majalah tersebut?
1. DEWAN BUDAYA- sebab saya nak baca cerpen saudara KHALIL ZAINI (GEMA PUSAKA)
2. PELITA BAHASA - sebab saya nak baca cerpen saudari NAZURAH M.K (PELANGI LUKA 
    SENJA HIBA) dan puisi NILAMSURI (PERINDU BAHASA)
3. DEWAN SISWA- sebab saya tidak dapat mengetahui karya yang tersiar pada bulan terkini. Di
    Facebook tidak ada. Di web DBP juga tidak dipaparkan.
4. MASTIKA - sebab saya nak baca artikel NUR SUHADA, ruangan MASTIKA IDOL.

Inilah tanda sokongan saya kepada rakan-rakan penulis. Tahniah kepada semua. Moga terus lestari dalam dunia penulisan.

*Novel terakhir yang saya baca ialah DERU ANGIN, WARIS PEJUANG dan RIMBA JIWA (pemenang HSKU 2011). Saya lebih banyak membaca kumpulan cerpen sejak akhir-akhir ini.

Khamis, 22 November 2012

Cerpen dan Puisi: di Tunas Cipta November 2012


Dalam sejarah penulisan saya bersama Tunas Cipta, saya kira belum pernah cerpen dan puisi saya tersiar bersama dalam satu edisi. Ternyata, edisi November 2012 menceritakannya. Saya mula menghantar karya ke Tunas Cipta bermula pada tahun 2009. Bersilih ganti sudah, editornya bertukar. 

Setelah tahun 2009, 2010 dan 2011, saya jarang menghantar cerpen ke Tunas Cipta. Namun, setelah masuk tahun 2012, saya beranikan diri untuk mencuba menghantarnya ke Tunas Cipta. Alhamdulillah, cerpen saya diterima dengan baik. Bermula dengan cerpen ADIWIRA SELAT MELAKA, TENTANG WARIS dan kini PEAH AKU MAHU PULANG

Sebenarnya, pelbagai cabaran yang saya hadapi sebelum melihat TENTANG WARIS dan PEAH AKU MAHU PULANG hendak tersiar. Rahsianya, biarlah saya simpan rapat-rapat. Masih berbaki sebuah lagi cerpen yang saya usulkan bersama PEAH AKU MAHU PULANG. Harapan saya cerpen tersebut akan mengikuti cerpen saya yang lain juga. Terima kasih editornya.(Untuk rekod, cerpen saya tersiar dua bulan berturut-turut)


Saya mengirimkan puisi KORBAN ATLET ini setelah membaca Facebook Tunas Cipta berkenaan editornya menyarankan agar penulis menghantar karya berupa menghargai semangat kesukanan ke meja editor. Jadi saya rebut peluang itu. Alhamdulillah, puisi saya terpilih. Puisi ini tersiar bersama beberapa orang penulis yang lain. Antaranya, saudara EFANDI YUSOP. Saya kira penulis muda ini mempunyai kerajinan yang tinggi dan peluang yang cerah sekiranya berdisiplin untuk terus berkarya. Tahniah juga kepada penulis yang lain. 


Tahniah kepada atlet negara. Memetik puisi KORBAN ATLET:
...
katamu-seorang atlet ialah pahlawan
sanggup berjuang mempertahankan maruah negara
daripada kecundang di tangan lawan.
Adakalanya seorang atlet tidak ubah seperti bola
yang akan disepak terajang oleh sesiapa sahaja
setelah menghadiahkan ketewasan.
... 

Selasa, 20 November 2012

Rak Buku yang Semakin Sesak


Lihatlah rak buku saya yang semakin sesak. Gambar diambil sebelum hari raya Aidiladha. Mulanya sekadar simpanan, tetapi apa salahnya saya berkongsi di sini. Berbanding sewaktu ini, rak buku ini kelihatannya tidak sebegini lagi. Kerananya apabila saya menulis, saya akan menarik segala buku yang memberi semangat kepada saya untuk berdamping di meja tulis. Walaupun sekadar hanya dibelek-belek. Itulah tabiat saya. Kemudiaannya bertimbun di atas meja, hingga sesak untuk saya melakukan kerja-kerja rujukan. 




Rak buku ini, sudah bersusun dua lapis. Ada selonggok lagi majalah yang tidak tahu hendak disusun di mana. Rasanya perlu membeli rak baharu. Sebenarnya saya tidak suka rak begini. Ruang yang direka tidak sesuai dengan ketinggian buku. Jika boleh dibuat sendiri atau ditempah alangkah lebih baik. Boleh mengikut cita rasa yang dikehendaki.


Koleksi buku yang ada di rak ini saya kumpul semenjak saya di zaman universiti lagi. Sehingga kini, alhamdulillah dalam senarai bahan bacaan yang saya buat, sudah ada kira-kira 200 buah. Kata adik saya sudah boleh dibuka mini perpustakaan. Tetapi saya sayang akan buku saya. Cara saya membelainya tidak sama dengan orang lain. Saya takut ia akan rosak. Ada di antaranya sudah dibalut. Kemudian, usaha itu tergendala. Malas. Hendak sambung kembali agak sukar.


Kalau diikutkan tidaklah banyak sangat. Tetapi saya cukup berbangga dengan koleksi ini. Jangan tanya buku yang paling saya sayang. Semestinya saya akan menjawab, semua yang berada di rak adalah buku kesayangan saya. Saya tahu apabila ada buku yang ditarik keluar oleh tangan-tangan lain. Jadi, cepat saya dapat mengesan, buku apa yang hilang. Jadi, jangan cuba-cuba hendak mengambil keluar daripada raknya, tanpa pengetahuan saya. Itu bukan amaran tetapi peringatan. 

Sebenarnya di dalam bilik saya mempunyai dua buah rak buku. Sebuah lagi saya tempatkan buku-buku persekolahan lama, fail dan buku rujukan. Rak itu juga sudah sesak.

Petang tadi saya ke kedai buku lagi. Insyaallah, akan saya ceritakan, buku apa yang telah menarik minat saya. Perbelanjaannya hampir RM 90.00. Entahlah, bila tabiat ini akan terus menghantui diri ini. 

Isnin, 19 November 2012

HSKU 2011: Akulah Waris Pejuang

Akulah Waris Pejuang. Di tangan aku terletaknya, hidup-mati, jatuh-bangun bahasa ibundaku. Jadi ubahlah sikap. Bermula dengan sikap sanggup berjuang demi mempertahankan hidup dan bangunnya bahasa ibunda itu, maka barulah layak digelar Akulah Waris Pejuang itu.

Jika anda bersetuju dengan saya, marilah sama-sama kita menyatakan perjuangan itu. Perjuangan itu tidak semestinya dilaungkan dengan suara berdegar-degar.

Hadi telah membuktikannya, melalui manuskrip Waris Pejuang. Perjuangan itu boleh saja melalui teks sastera. Kumpulkan himpunan pembaca naskah ini, sudah pasti kita akan memperoleh kemenangan.

Sabtu, 17 November 2012

HSKU 2011: Deru Angin Yang Berlalu

Sudah lama saya tidak membaca novel, walaupun masih ada novel terbaru yang saya beli di rak buku. Saya lebih selesa membaca kumpulan cerpen. Namun, sehari dua ini, saya gapai deru angin dan dalam masa tiga hari ia habis dibaca.

Saya tidak mahu bercerita akan kemenangan novel ini. Saya tidak mahu juga bercerita tentang Johan yang mencari sulurgalurnya. Saya tidak mahu juga bercerita tentang siapa Hiza dalam hidup Johan. Sesekali juga saya tidak akan mempertikaikan tindakan ibu mentua Scarlet, ibu kepada Adam. Siapakah Scarlet? Siapakah Adam? Anda harus mencarinya sendiri.

Tetapi saya suka untuk bercerita tentang kata-kata ini.

"Memanglah kerana kita hanya melihat apa yang kita ingin lihat. Kita tidak pernah ambil tahu persoalan di sekeliling kita kerana sikap ia bukan hal aku." 

Carilah di mana-mana dialog ini dipertuturkan.

Jadi saya membuat kesimpulan, anda harus bersedia membaca novel ini secara keseluruhannya. Jangan tumpukan perhatian anda terhadap kata-kata yang tercatat pada 'blur' di belakang novel ini. Sekiranya anda berbuat demikian, anda tidak akan jumpa selain apa yang anda telah pusatkan dalam fikiran, selain apa yang telah tercatat di 'blur' kerananya anda hanya ingin tahu apa yang ingin anda tahu. Tanpa mengambil tahu persoalan lain yang berada dalam novel ini.

deru angin yang berlalu, hujan menyimbah. Aku teralit dalam ketakjuban lena menyambung mimpi Johan meneruskan pelayaran mencari susurgalurnya hingga aku menemui pula waris pejuang.

Jumaat, 16 November 2012

Tolonglah... Saya Tidak Mahu Mendengarnya Lagi


Lihatlah bertapa hebatnya perkataan C-I-N-T-A dalam dunia ini.

Dalam dunia penulisan, seringkali judul C-I-N-T-A dihadirkan sekali. Tidak kira dalam penulisan puisi, cerpen malah yang lebih tebal novel. Kadangkala perkataan C-I-N-T-A itu kena pada tempatnya. Kadangkala nampak klise. 

Bagi saya lebih baik daripada sesetengah penerbit yang memilih menggunakan perkataan Inggeris, nampak meloyakan. Di manakah letaknya maruah, identiti dunia penulisan kita? Jangan cakap dengan saya, judul itu sekadar retorik untuk menarik perhatian dalam masa yang sama meraih keuntungan. Tolonglah.... saya tidak mahu mendengarnya lagi. 

Khamis, 15 November 2012

Karyawan Bulan Ini (ii)

Ruangan Karyawan Bulan Ini (KBI) sememangnya menghidangkan sejumlah maklumat tentang latar peribadi, proses pengkaryaan seseorang karyawan yang dipilih. Pada tahun 2010 sejumlah karyawan lagi dipilih untuk mengisi ruangan ini. Oleh itu, perhatikan senarai nama tersebut.

1. APRIL 2010                  - A. KARIM KADIR
2. MEI 2010                      - ABANG PATDELI ABANG MUHI
3. JUN 2010                      - HALIL ALI
4. JULAI 2010                   - AMIR HUSAINI
5. OGOS 2010                  - OSMAN DOL
6. SEPTEMBER 2010       - LATIFAH MOHD. SABLI
7. OKTOBER 2010           - KAMARIAH KAMARUDDIN
8. NOVEMBER 2010        - MAHIZAN
9. DISEMBER 2010           - S.M. ZAKIR



Saya mengenali Kamariah Kamaruddin (Dr.) sewaktu saya menuntut di UPM. Menerusi kursus Teori Kesusasteraan beliau telah membuka sejumlah pemikiran dalam merail ilmu. Kaedah dan cara pembawakannya dalam menyampaikan ilmu sangat mengujakan. Kadangkala terasa 'memeritkan'. Saya pernah mencoretkan sedikit tentang beliau dalam ruangan Bicara Tunas, Tunas Cipta, Februari 2012. Oleh itu, tidak perlulah saya membebel panjang. Karya beliau yang sempat saya baca adalah kumpulan cerpennya yang saya beli daripada tangannya sendiri - MENCARI KAMIL, novel di awal pembabitannya, SEBUAH SYAKIRAH, TANDA SEBUAH KURNIA dan buku motivasinya BERAPA HARGA SEGULUNG IJAZAH.


Osman Dol tidak perlu diperkenalkan lagi. Seorang penulis yang berasal dari Melaka ini telah menghasilkan 200 buah cerpen, 18 buah novel, skrip drama dan sajak. Beliau saya kenali lewat menjengah blognya. Walaupun tidak pernah bertegur sapa, bersua muka, beliau menyarankan saya memanggilnya ayahanda. Terima kasih, ayahanda. Anakanda berdoa agar ayahanda berada dalam keadaan sihat walafiat. Karyanya yang pernah saya baca adalah kumpulan cerpennya, MIMPI SEORANG HARTAWAN.  


S.M. ZAKIR, nama yang cukup gah dan hebat di pentas sastera sekarang ini. Memiliki kekuatan dalam penulisan cerpen, tidak kurang juga dalam penulisan sajak. Sering memenangi hadiah sastera seperti HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA, HADIAH SASTERA UTUSAN-PUBLIC BANK, HADIAH SASTERA UTUSAN-EXXONMOBIL, HADIAH SASTERA DBP-DBKL, HADIAH FORMULA MALAYSIA, ANUGERAH SASTERA KELANTAN dan ANUGERAH GAFFIM (kritikan filem).

Saya bukanlah individu yang akrab dengan S.M. ZAKIR. Namun, karya-karyanya sering menghadirkan keterujaan untuk saya membacanya. Antaranya, kumpulan cerpennya, MENYIRAT NIRMALA, SERIGALA DAN SEKUNTUM TULIP, BIDADARI BURUNG. Saya pernah bertemu (dalam sedar tidak perasan) sewaktu saya mengikuti Bengkel Penulisan Karya Fiksyen di QUALITY HOTEL. Tetapi ketika itu siapalah saya, kosong dalam (ilmu mengenali nama-nama penulis). Baru kini saya sedar bahawa orang yang memberi ceramah tempoh hari bukanlah calang-calang dalam dunia penulisan kreatif ini. 


Selasa, 13 November 2012

Karyawan Bulan Ini (i)


Dalam Dewan Sastera edisi Jun 1999 telah memuatkan Allahyarham Azizi Hj. Abdullah sebagai Karyawan Bulan Ini. Sejujurnya, saya mengaku bahawa Allahyarham Azizi telah banyak menaikkan semangat saya untuk menulis. Sering kali saya membaca karyanya terutama cerpen, ilham untuk menulis selalu muncul. Saya pernah membaca cerpennya yang berjudul RANGGI ANAK CUCU. Kemudiannya telah membuahkan hasil untuk saya menulis cerpen saya yang berjudul CIKGU (judul asal-RANGGI SEORANG GURU) yang disiarkan di majalah WANITA edisi Mei 2012. 

Antara karyanya yang saya suka adalah kumpulan cerpen PENDOA YANG IKHLAS. Dalam kategori novel pula, SEORANG TUA DI KAKI GUNUNG, SANGEETHA sering disebut-sebut tatkala dikaitkan dengan nama Allahyarham. Selain itu, mutahir ini novel HARGA SEBUAH MARUAH tidak boleh dipertikaikan juga akan kewibawaan Allahyarham dalam pengkaryaan genre novel. 

Usaha yang dijalankan oleh AMEEN KREATIF dengan menerbitkan semula novel BERUK, ANAK BELANTARA, SURIATI, BADAI CINTA membolehkan penggemar karya Allahyarham Azizi Hj Abdullah  terutamanya generasi kini menikmati karyanya yang begitu hebat ini. Sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, Allahyarham sempat menyudahkan sebuah novel yang berjudul MANDALA DUNIA KEDUA yang diterbitkan oleh PTS pada tahun 2011. Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia penulisan, Allahyarham telah dianugerahkan S.E.A Write Award pada tahun 1986. Allahyarham pernah muncul sekali lagi dalam ruangan ini pada tahun MAC 2008.



Dewan Sastera edisi Mac 2004, pernah menyiarkan kisah Allahyarham S. Othman Kelantan. Saya tidak begitu akrab dengan karya-karya Allahyarham. Antara karyanya yang pernah saya baca adalah JUARA dan PERJUDIAN. Sementara sebuah lagi novelnya yang berada dalam koleksi saya dan belum sempat ditelaah adalah WAJAH SEORANG WANITA. Allahyarham pernah dianugerahkan S.E.A Write Award pada tahun 1990. Paling tidak dapat dilupakan dalam sejarah seorang penulis apabila dianugerahkan Sasterawan Negara pada tahun 2003.

Senarai karyawan yang pernah mengisi ruangan Karyawan Bulan Ini:
(senarai yang dirujuk sekadar yang berada dalam koleksi saya)

1. NOVEMBER 2005       - MASKIAH HAJI MASROM
2. JUN 2006                      - WAN A. RAFAR
3. JULAI 2006                   - WAN AHMAD ISMAIL
4. OKTOBER 2007           - CHAI LOON GUAN
5. JANUARI 2008             - RAHMAN SHAARI
6. FEBRUARI 2008           - SN SHAHNON AHMAD
7. MAC 2008                     - AZIZI HJ ABDULLAH
8. OGOS 2008                   - ABD. GHAFAR BAHARI
9. SEPTEMBER 2008        - KAMARIAH AWANG
10. OKTOBER 2008         - MABULMADDIN SHAIDDIN
11. NOVEMBER 2008      - MOHAMAD MOKHTAR ABU HASSAN
12. DISEMBER 2008         - SITI HAWA SALLEH
13. MAC 2009                   - A. RAHMAN C.M
14. APRIL 2009                 -  SN DATO' NOORDIN HASSAN
15. MEI 2009                     - ALI BADRON
16. DISEMBER 2009         - ZAID AKHTAR

Kepada pembaca yang membaca entri ini sekiranya mempunyai maklumat akan karyawan yang pernah mengisi ruangan KBI yang tidak ada dalam senarai ini bolehlah menambah.

*Nantikan entri seterusnya untuk mengetahui siapakah yang mengisi ruangan KBI untuk tahun 2010 dan seterusnya. 

Ahad, 11 November 2012

Surat Kepada Editor Edisi Ogos 2012 di Dewan Sastera



Alhamdulillah, buat pertama kalinya surat yang saya hantar untuk ruangan Surat kepada Editor di Dewan Sastera disiarkan. Surat ini disiarkan dalam Dewan Sastera edisi Ogos 2012. Dalam surat tersebut saya menyarankan agar ruangan Karyawan Bulan Ini memuatkan latar belakang beberapa orang penulis dalam ruangan ini. Antaranya, Shapiai Mohd Ramly, Jamaludin D., Rejab F.I, Nordin Haji Abdullah, Adnan A.M, Abdullah AR, Wan Marzuki Wan Ramly, Hasan Baseri Budiman, Ami Masra, Hilmi Rindu, Ridzuan Kamis dan Faisal Tehrani. 

Untuk entri seterusnya, saya akan memuatkan beberapa entri tentang KBI yang pernah disiarkan di Dewan Sastera sekadar perkongsian. 

Rabu, 7 November 2012

Ada Apa Dalam Bank Karya Saya?

kredit foto dari klienconsult.net

Begini kira-kiranya. Dalam sedar tidak sedar, selama usia pengarangan saya terutamanya dalam penulisan cerpen, saya telah menghasilkan hampir 100 buah cerpen. Setelah membelek Bank Cerpen saya, masih terdapat lebih kurang 30 buah cerpen yang belum pernah tersiar di mana-mana media penerbitan (walaupun pernah dihantar). Saya teliti kembali, lebih kurang 20 buah cerpen yang masih boleh diselamatkan. Ertinya, cerpen-cerpen ini bagi saya masih relevan untuk dihantar ke pelbagai media, sama ada arus perdana mahupun tabloib. Berbaki 10 buah cerpen lagi, telah saya murnikan dan sudah dihantar ke media penerbitan. Harapan saya, cerpen-cerpen ini akan menemui pembaca semua.

Nasihat saya kepada penulis muda, wujudkanlah bank karya untuk menyimpan karya-karya anda seterusnya memudahkan anda menyemak dan merekod karya yang pernah tersiar, pernah dihantar dan belum pernah dihantar. Tidaklah anda akan terkeliru dan tercari-cari di mana anda menyimpan karya tersebut.

Tinggal dua hari sahaja lagi persekolahan sesi 2012 bakal berakhir. Oleh itu, saya akan pulang ke kampung. Perkiraan saya, kepulangan saya akan menjadikan saya seorang penulis sepenuh masa. Saya akan menebus kembali masa untuk menulis. Saya akan cuba melunaskan semua ilham yang tertunggak untuk direalisasikan. Misalnya, tidak berkesempatan untuk dihantar dan diterbitkan pada tahun ini memandangkan hanya berbaki sebulan setengah, saya harap karya itu disiap sedia untuk tahun baharu akan datang, iaini 2013. Bukankah persiapan awal lebih bagus. Sementara itu, bolehlah saya simpan dahulu dalam Bank Karya saya.

Dalam masa terdekat ini, saya juga sudah jarang menulis puisi. Nafsu saya lebih terarah untuk menulis cerpen. Entah mengapa. Salah satu faktornya, saya kerap menulis cerpen. Jadi apabila sudah selesa menulis cerpen, momentum itu tidak dapat disekat lagi. Jika saya mula menulis puisi pula, akan lahirlah beberapa buah puisi tanpa henti. Em.... (sudah macam penulis mapan pula kan?).

Saya harap, pendedahan ini bukan untuk menunjuk sikap ego tetapi sekadar perkongsian pengalaman. Pengalaman itu tidak boleh dibeli mahupun dipindah milik. Selagi seseorang itu tidak pernah merasa seharusnya tidak sepatutnya dia mengakui bahawa menulis itu suatu kerja buang masa ataupun kerja yang meletihkan. Tanpa kesediaan diri, semangat untuk menulis, anda akan menulis tanpa jiwa. Sebaliknya, serahkan diri dalam dunia penulisan, berlayarlah dalam lautan kata. Rasai, saat kesedihan, kebahagiaan, kesusahan. Saya pasti, karya itu secara sendirinya mampu berdiri sebagai sebuah karya yang baik tanpa dibayangi nama penulisnya. Selamat menulis!

Isnin, 5 November 2012

Bagaimana Menjadi Penulis Yang Bijak

Selaku penulis eceran pernahkah anda merancang untuk menulis karya yang mengambil sempena atau sambutan yang diraikan. Oleh itu, saya ingin berkongsi sedikit tips dan pengalaman yang pernah saya lalui.

Untuk menulis karya baik puisi mahupun cerpen yang mengambil sempena perayaan pastikan karya tersebut dihasilkan lebih awal. Proses penghantaran karya itu lebih baik dalam tempoh masa tiga bulan awal. Ayuh, kita perhatikan sepanjang tahun, antara perayaan apakah yang disambut.

1. Tahun Baru Cina
2. Hari Guru
3. Hari Ibu
4. Hari Bapa
5. Ramadan
6. Hari Raya Aidilfitri
7. Hari Raya Aidiladha
8. Hari Kemerdekaan
9. Hari Deepavali
10. Hari Krismas

Penulis haruslah mengetahui media manakah yang sering menyiarkan karya bersempena ini. Tidak semua media menyediakan peluang tersebut. Baik majalah mahupun surat khabar. Penulis harus membuat tinjauan. Namun, senarai hari perayaan seperti saya senaraikan di atas sering menyiarkan karya berkenaan. Selain itu, majalah yang bercirikan wanita atau perempuan juga sering menyiarkan karya edisi khas perkahwinan. Jadi penulis boleh mencuba untuk menghantar kepada majalah tersebut seperti Harmoni, Mingguan Wanita, Jelita, Perempuan.

Tiada jalan mudah untuk berjaya. Haruslah rajin dan berdisiplin untuk menulis.

Ahad, 4 November 2012

Novel Jadi Hantaran Perkahwinan

kredit foto daripada Sinar Harian

Saya hendak berkongsi cerita ini dengan pembaca semua. Adakah anda semua pernah membaca artikel ini di Sinar Harian edisi 1 Oktober 2012?

Wah, 4 dulang novel dijadikan hantaran perkahwinan! Teruja sangat.

Minat membaca pengantin perempuan terhadap karya Ramlee Awang Murshid membuatkan pengantin lelaki mengambil keputusan membawa dulang  berupa novel sebagai hantaran. 4 dulang tersebut mengandungi 21 buah novel karya Ramlee Awang Murshid dan beberapa penulis lain. Jarang-jarang novel menjadi bahan hantaran, bukan? Jika ada pun al-Quran dan buku-buku agama yang dijadikan sebagai hantaran.

Jadi, kepada sesiapa yang hendak berkahwin pada musim cuti sekolah nanti bolehlah berbuat demikian.

Khamis, 1 November 2012

Tunas Cipta dan Dewan Sastera November 2012 di Pasaran


Majalah terbitan DBP bulan November 2012 sudah berada di pasaran. Teruja untuk memilikinya. Kepada semuapenulis bolehlah menyemak karya jika ada yang tersiar. Untuk Kandungan Tunas Cipta, tidak disertakan nama. Sebaliknya, Kandungan Dewan Sastera disertakan namanya sekali. Tahniah kepada penulis yang karyanya tersiar. Kepada yang tidak ada karyanya untuk bulan November usahlah berkecil hati. Teruskan berusaha. Entri ini sekadar perkongsian dan untuk mempromosikan lagi majalah terbitan DBP.






*Kredit foto daripada Portal DBP. Untuk mengetahui kandungan majalah yang lain boleh ke sana.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78